Senin, 03 Maret 2014

Bab 1 : Pengertian Tasawwuf

Bab 1 : Pengertian Tasawwuf

Pelbagai definisi Tasawwuf dari segi bahasa yang dikemukakan oleh ulama-ulama antaranya ialah sufah, suf, suffah , suffi, sof, sofwah, sof, sufanah,sufah al-qafa, sofa’ namun perkataan sofa’ yang bermaksud kebersihan jiwa daripada kekotoran dunia adalah pendapat yang sahih dan dipersetujui oleh kebanyakan ulama berdasarkan kekuatannya dari segi bahasa. Definisi Tasawwuf dari sudut istilah juga mempunyai pelbagai takrif bahkan mencapai sehingga dua ribu pentakrifan sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zarruq r.a. iaitu wujudnya pelbagai definisi Tasawwuf di kalangan ulama-ulama adalah berdasarkan pengalaman rohani yang mereka alami dalam mujahadah mereka menuju kepada Allah.

Al-Sya’rani mendefinisikan Tasawwuf sebagai “Ilmu yang terbit di dalam hati para wali apabila mereka mempraktikkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Sebagaimana ilmu yang terbit daripada ulama-ulama fiqh, setiap amalan yang dilakukan dengan panduan kedua-duanya akan menerbitkan pelbagai ilmu, adab-adab, rahsia-rahsia dan hakikat yang tidak dapat diungkapkan secara lisan, dengan syarat jika amalan itu bebas daripada kecacatan dan kehendak-kehendak hawa nafsu.

 

Syeikh Ahmad Zarruq pula mendefinisikan Tasawwuf sekaligus mengklasifikasikan ilmu Tasawwuf, Feqah, Usuluddin yang menjadi kewajipan terhadap semua mukallaf mempelajari dan mengamalkan ketiga-tiga ilmu tersebut, “Tasawwuf ialah suatu ilmu bertujuan memperbaiki hati dan mentafridkannya hanya kepada Allah Ta’ala semata-mata tanpa yang lain. Ilmu Feqah bertujuan membetulkan amalan, menjaga peraturan dan menzahirkan hikmah terhadap hukum-hakam, Ilmu Usul (Ilmu Tauhid) untuk memantapkan muqaddimah keimanan dengan dalil-dalil serta menghiasi iman dengan keyakinan, ia seumpama ilmu perubatan yang bertujuan menjaga badan, ilmu nahu yang memperbetulkan lidah serta bermacam-macam lagi ilmu yang lain”.

0 komentar:

Posting Komentar