Bab
5 : Jenis-jenis Harta
HARTA
YANG BERHARGA (MUTAQAWWIM) DAN HARTA YANG TIDAK BERHARGA (GHAYR
MUTAQAWWIM)
Harta yang berharga/bernilai ialah setiap harta yang disimpan
oleh seseorang dan syara` mengharuskan penggunaannya. Contohnya
seperti semua jenis harta tidak alih dan harta-harta alih juga
makanan-makanan atau seumpamanya.
Harta yang tidak berharga/bernilai ialah harta yang tidak di dalam
simpanan atau dimiliki orang seperti ikan di dalam sungai, burung
di udara juga galian yang berada di dalam perut bumi atau harta
yang tidak harus digunakannya pada syara` seperti arak, babi,
kedua-dua ini tidak harus bagi orang Islam menggunakannya kecuali
ketika darurat sahaja seperti bersangatan dahaga atau bersangatan
lapar yang boleh membawa mati kalau tidak menggunakannya.
Tujuan
pembahagian harta kepada harta yang berharga dan tidak berharga:
1.
Harta yang berharga sah untuk semua urusan berakad dengannya seperti
berjual beli, hibah, meminjam, gadaian, wasiat dan bersyarikat.
2.
Harta yang tidak berharga tidak sah berakad dalam semua urusan
seperti tidak sah menjual arak dan babi.
3.
Wajib membayar ganti rugi oleh orang yang merosakkan harta yang
berharga sama ada ganti rugi barang yang serupa sekiranya ada
atau membayar nilai harganya.
4.
Harta yang tidak berharga tidak wajib membayar ganti rugi orang
yang merosakkannya.
HARTA TIDAK ALIH (`IQAR) DAN HARTA ALIH (MANQUL)
Harta tidak alih ialah harta yang tidak boleh dipindah atau diubah
dari tempat asalnya seperti bangunan dan bumi.
Harta alih ialah harta yang boleh dipindah atau diubah dari tempatnya
sama ada bentuk dan keadaannya kekal dengan dipindahkan atau berubah
bentuknya seperti wang ringgit, barangan perniagaan, haiwan dan
lain-lain.
Terkadang harta alih bertukar menjadi tidak alih dan sebaliknya.
Contohnya
pintu rumah, tingkap atau jendela akan menjadi tidak alih bila
dipasang di bangunan yang tetap buat selamanya, sebaliknya runtuhan
rumah atau bangunan, galian yang dikeluarkan dari perut bumi,
batu dan tanah akan bertukar menjadi harta alih bila sahaja bercerai
dari bumi.
Faedah
pembahagian harta kepada harta alih dan harta tidak alih adalah
mengikut perbezaan hukum-hukum fiqh seperti berikut:
1.
Hukum as-syuf`ah adalah sabit pada harta tidak alih sahaja dan
tidak sabit pada harta alih.
2.
Hukum jual janji adalah khusus bagi harta tidak alih sahaja. Erti
jual janji ialah seseorang yang perlu pada wang maka dia jual
harta tidak alih dengan syarat bila ia dapat wang maka akan diambil
balik harta tidak alih yang telah dijual itu dengan membelinya
semula dari orang yang membelinya ketika ia terdesak.
3.
Pemegang amanah harta anak yatim tidak boleh menjual harta tidak
alih yang dimiliki oleh anak-anak yatim melainkan dengan alasan
yang dibenarkan oleh syara` seperti membayar hutang atau sangat-sangat
perlu kepada perbelanjaan untuk anak yatim tetapi mesti mendapat
kebenaran dari hakim atau qadhi. Adapun harta alih, maka pemegang
amanah harta anak yatim boleh menjualnya bila ada sebarang maslahah
pada jualan tersebut.
4.
Segala hak yang berkaitan dengan jiran tetangga adalah bersangkut
paut dengan harta tidak alih sahaja.
0 komentar:
Posting Komentar