Bab
6.1 : Sifat Mahmudah
1. Taubat(توبة )
Taubat
ialah kembali daripada keburukan kepada kebaikan dengan beberapa syarat
yang tertentu. Taubat juga adalah asas di dalam perjalanan kesufian.
Setiap manusia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada membuat
kesalahan dan terlupa, melainkan manusia yang ma’asum (terpelihara
daripada dosa) seperti rasul-rasul dan nabi-nabi. Seseorang itu
hendaklah bersungguh-sungguh memelihara diri daripada dosa iaitu dengan
memelihara seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara yang
ditegah oleh agama. Syarat-syarat taubat adalah seperti berikut :
1. Meninggalkan maksiat atau perkara dosa tersebut.
2. Menyesal atas maksiat atau dosa yang telah dilakukan.
3. Berazam tidak akan mengulanginya lagi.
4. Mengembalikan hak-hak makhluk yang dizalimi.
5. Memperbanyakkan amal kebajikan.
2. Khauf (Takut) (خوف)
Khauf
bererti takut akan Allah S.W.T. iaitu rasa gementar dan rasa gerun akan
kekuatan dan kebesaran Allah S.W.T. serta takut akan kemurkaan-Nya
dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Seseorang itu tidak akan berasa takut kepada Allah S.W.T.
jika tidak mengenal-Nya. Mengenal Allah S.W.T. ialah dengan cara
mengetahui sifat-sifat ketuhanan dan sifat-sifat kesempurnaan bagi zat
Allah. Seseorang itu juga hendaklah mengetahui segala perkara yang
disuruh dan segala perkara yang ditegah oleh agama Islam. Dengan
mengenal Allah S.W.T. dan mengetahui segala perintah dan larangan-Nya,
maka seseorang itu akan dapat merasai takut kepada Allah S.W.T. Rasa
takut dan gerun kepada Allah S.W.T. akan menghindarkan seseorang itu daripada
melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. dan seterusnya patuh
dan tekun dalam mengerjakan perkara yang disuruh dengan hati yang
khusyuk dan ikhlas.
3. Zuhud (زهد)
Zuhud
bererti meninggalkan dunia melainkan kadar yang patut daripadanya.
Sebagai contoh, jika diberikan harta, seseorang itu tidak suka pada
harta itu dan rasa menderita apabila mendapatnya. Maka dia tidak
mengambil harta tersebut dan menjaga dirinya daripada kejahatan dan
gangguan harta tersebut. Zuhud yang sempurna ialah meninggalkan perkara
lain selain Allah S.W.T. Dunia ialah tiap-tiap perkara yang tidak
dituntut oleh syarak dan ianya sebagai tempat bercucuk-tanam (berbuat
kebaikan dan amalan soleh) untuk akhirat yang kekal abadi
selama-lamanya. Setiap manusia berkehendak kepada beberapa perkara bagi
meneruskan hidup yang mana manusia berkehendak kepada makanan, pakaian,
tempat tinggal dan lain-lain lagi. Oleh itu, sifat zuhud itu adalah
mencari keperluan hidup sekadar yang boleh membantu diri untuk beribadah
kepada Allah S.W.T. (zuhud orang awam).
4. Sabar (صبر)
Sabar
bermaksud menahan diri daripada keluh kesah pada sesuatu yang tidak
disukai dan musibah yang melanda seseorang. Sifat sabar perlu ketika
menghadapi tiga perkara berikut :
1.
Menahan diri daripada keluh kesah dan menahan diri daripada mengadu
kepada orang lain daripada Allah S.W.T. ketika berlaku sesuatu bala
atau bencana.
2. Menahan diri dalam mengerjakan segala perintah Allah.
3. Menahan diri dalam meninggalkan segala larangan Allah.
Sifat
sabar itu dipuji oleh syarak kerana seseorang yang bersifat sabar
menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia
taat dan menjunjung segala perintah agama. Orang yang beriman kepada
Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas dirinya
adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang
yang taat kepada Allah tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala
perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
5. Syukur (شكر)
Syukur
bermaksud mengaku dan memuji Allah atas nikmat yang diberikan dan
menggunakan segala nikmat itu untuk berbuat taat kepada Allah S.W.T.
Tiap-tiap nikmat yang diberi oleh Allah S.W.T. kepada makhluk-Nya adalah
dengan limpah kurnia-Nya semata-mata, seperti nikmat kesihatan,
kekayaan, kepandaian dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita hendaklah
bersyukur dan berterima kasih atas nikmat-nikmat tersebut yang diberikan
oleh Allah kepada kita. Setiap nikmat juga hendaklah disyukuri kerana
orang yang tidak berterima kasih adalah orang yang tidak mengenang budi.
Oleh itu, hendaklah digunakan nikmat-nikmat Allah itu untuk menambahkan
ibadah kepada Allah dan sangatlah keji dan hina menggunakan
nikmat-nikmat itu untuk menderhakai Tuhan yang memberi nikmat kepada
manusia.
6. Ikhlas (إخلاص)
Sifat
ikhlas ialah menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang
dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T. dan diqasadkan (niat) untuk
menjunjung perintah Allah semata-mata serta membersihkan hati dari dosa
riya’, ujub atau ingin akan pujian manusia. Setiap pekerjaan yang
dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain
daripada taat kepada perintah Allah S.W.T. Ikhlas pada tauhid itu
bermakna tidak menyekutukan Allah. Kita hendaklah membersihkan niat kita
daripada sebab-sebab yang lain dari sifat-sifat yang keji (sifat
mazmumah) seperti riya’, ujub, inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi.
Tetapi jika orang yang beramal kerana mengharapkan syurga dan takutkan
neraka maka dia ikhlas dalam beramal. Ikhlas pada amal ialah bahawa
syaitan tidak melihat kepadanya dan tidak dilihat oleh malaikat lalu
ditulis amalannya itu. Dalam meninggalkan larangan Allah S.W.T.
hendaklah diniatkan untuk taat kepada Allah semata-mata bukan kerana
malu kepada makhluk atau sebagainya.
7. Tawakkal (توكل)
Tawakkal
ialah menetapkan hati dan berserah kepada Allah pada segala perkara
yang berlaku serta jazam (putus) pada iktiqad bahawa Allah S.W.T. yang
mengadakan dan memerintahkan tiap-tiap sesuatu. Tidak berpaling hati itu
kepada yang lain daripada Allah walau apa pun yang berlaku. Berserah
kepada Allah pada segala perkara itu hendaklah disertakan dengan ikhtiar
dan usaha kerana Allah dan Allah menjadikan sesuatu mengikut
sebab-sebabnya, seperti dijadikan pandai kerana belajar, dijadikan kaya
kerana rajin berusaha dan sebagainya.
8. Kasih kepada Allah (مَحَبَّةُ)
Kasih
kepada Allah bermaksud kasihkan Allah S.W.T. dengan mengingati-Nya pada
setiap masa dan keadaan. Kasihkan Allah ialah dengan segera melakukan
segala perintah-Nya dan berusaha mendampingkan diri kepada Allah dengan
ibadah-ibadah sunat dan bersungguh-sungguh menghindari maksiat serta
perkara-perkara yang membawa kemurkaan Allah.
9. Redha dengan qada’ Allah (رضا)
Redha dengan qada' Allah
ialah menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T
sama ada berbentuk nikmat atau berbentuk musibah (malapetaka). Di dalam
hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga
ialah mereka yang suka memuji Allah S.W.T. iaitu mereka memuji Allah
(bertahmid) dalam keadaan yang susah atau senang. Rasulullah S.A.W.
bersabda apabila memperolehi kegembiraan :
Baginda berkata : "
Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah
kebaikan ". Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan ,
Baginda mengucapkan : " Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".
Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah S.W.T. dijelaskan
di dalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud : " Dan jika sesuatu
kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat
begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah
kamu katakan : Allah telah mentakdirkan dan apa yang ia suka , ia
perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata... itu memberi
peluang pada syaitan " .
Sikap
redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah S.W.T. ketika
mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandarkan
kepada dua pengertian :
Pertama
: Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah S.W.T.
memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi diri Allah kerana
bagi Allah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala
sesuatu.
Kedua
: Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah S.W.T.
itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak
peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
"
Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu
ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya.
Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi
kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia
ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
(Riwayat Muslim)
10. Zikrul Maut (mengingati mati) (ذكر الموت)
Zikrul
Maut ialah sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersedia dengan
amalan-amalan yang baik. Oleh kerana seseorang itu akan mati, maka
hendaklah ia bersedia dengan amalan-amalan yang baik dan hendaklah ia
memenuhkan tiap-tiap saat daripada umurnya itu dengan perkara yang
berfaedah bagi akhiratnya kerana tiap-tiap perkara yang telah lalu tidak
akan kembali lagi. Ketahuilah bahawa orang yang bersungguh-sungguh pada
dunia dan mencintai nafsu keinginannya, sudah pasti hatinya lalai dari
mengingati mati. Barang yang berharga pada orang mukmin itu adalah mati
kerana mati akan melepaskan diri mereka dari azab menahan nafsu syahwat
kepada dunia dan lalai kepada akhirat.
0 komentar:
Posting Komentar