Kamus Tasawuf (L-Z)
mabuk:
Keadaan orang yang di dalam jazbah. Dia lupa kepada dirinya tetapi
pancainderanya masih aktif. Hati nuraninya dikuasai oleh hal ketuhanan
yang berbeza dengan sifat kemanusiaan. Oleh yang demikian lahirlah
perbuatan dan perkataan yang menyalahi peraturan kemanusiaan.
mahabbah: Cinta.
majnun: Gila.
majzub: Orang yang mengalami jazbah.
makam:
Hati hamba menjadi tempat curahan kurniaan Allah s.w.t. Dikurniakan-Nya
berbagai-bagai hal kepada hati hamba-Nya. Kurniaan yang demikian adalah
semata-mata kerana rahmat dan belas kasihan-Nya kepada hamba-Nya. Hamba
tidak berupaya mendapatkan yang demikian dengan amal dan ilmunya.
Tetapi apabila kurniaan tersebut diterima oleh hati, maka si hamba perlu
mengambil langkah yang sesuai bagi menetapkan hal berkenaan pada
hatinya. Apabila hal kurniaan Allah s.w.t itu menetap di dalam hati. Hal
yang telah diserapkan menjadi makam akan membentuk sifat dan
keperibadian khusus dan berterusan menurut hal berkenaan.
makam abid:
Ada sebahagian daripada hamba-Nya dikurniakan hal merasakan kehambaan
yang sangat kuat terhadap Allah s.w.t. Hal yang demikian membuatkan si
hamba itu mempergiatkan amal ibadatnya. Setelah keadaan yang demikian
sebati dengannya akan terbentuklah sifat dan keperibadian yang teguh
kehambaannya dan kuat ibadatnya. Suasana yang demikian dinamakan makam
abid.
makam al-buhut: Hamba yang sampai kepada
penghujung jalan ilmu dan makrifat akan menemui suasana
kehairan-hairanan tentang zat Ilahiat yang tidak mampu dihuraikan oleh
ilmu dan tidak mampu diperkenalkan oleh makrifat. Bila suasana demikian
menguasai jiwa raganya dia dikatakan memperolehi makam al-buhut.
makam alif: Suasana hati yang menghadap Tuhan dengan tetap, tidak teringat kepada sesuatu yang lain.
makam Amin:
Orang yang lulus ujian iman dan menetap di atas jalan takwa memperoleh
kesejehteraan dan ketenangan. Suasana yang demikian dinamakan makam
Amin. Imannya telah teguh, tidak dapat digoncangkan oleh sesuatu.
makam arifbillah:
Setelah melepasi peringkat kehairan-hairanan si hamba dibawa kepada
ilmu dan makrifat yang berbeza dengan yang sebelumnya. Pada tahap ini si
hamba mendapat pengetahuan tentang Allah s.w.t secara mengetahui tetapi
tidak ada pengetahuan tentang-Nya namun, keyakinannya teguh bahawa
Allah s.w.t yang diketahuinya. Dia juga memperolehi makrifat secara
mengenali Allah s.w.t tetapi tiada sebarang pengenalan tentang-Nya,
tetapi keyakinannya teguh bahawa Allah s.w.t yang dikenalinya. Dia
dikatakan melihat Allah s.w.t secara tanpa huruf, tanpa suara, tanpa
ibarat dan tanpa sesuatu yang boleh disifatkan. Hamba yang mengenali
Allah s.w.t pada tahap demikian dikatakan mencapai makam arifbillah.
makam asbab:
Manusia dikelilingi oleh perjalanan hukum sebab musabab dan mereka
mengambil bahagian dalam sistem tersebut. Mereka melihat kekuatan hukum
sebab dalam menghasilkan akibat. Bila keyakinan sudah penuh terhadap
keberkesanan hukum sebab-akibat itu menguasai hati maka mereka dikatakan
berada dalam makam asbab.
makam baqa: Kebaqaan
adalah suasana kerohanian yang muncul selepas suasana kefanaan. Dalam
proses menaik, iaitu kefanaan, berlaku pelepasan benda-benda alam,
makhluk dan diri sendiri daripada kesedaran hati seseorang. Kehendak
diri sendiri juga terhapus. Pada kemuncak kefanaan seseorang tidak ingat
dan tidak menyedari tentang sesuatu melainkan Allah s.w.t. Selepas
peringkat kemuncak kefanaan itu, ingatan dan kesedarannya terhadap
dirinya dan makhluk lain kembali sedikit demi sedikit. Pada tahap ini
walaupun dia melihat, menyedari dan mengingati dirinya dan makhluk
namun, hatinya masih lagi kuat dikuasai oleh hal ketuhanan yang
menyebabkan dia melihat suasana kekekalan dirinya dengan Tuhan. Dia
masih melihat persamaan wujudnya dengan Wujud Tuhan. Suasana yang
demikian dinamakan makam baqa. Setelah melepasi makam baqa ini baharulah
hamba dapat membezakan sepenuhnya wujud makhluk dengan Wujud Tuhan.
makam fana: Suasana terhapusnya kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk sekaliannya, yang ada hanyalah Allah s.w.t.
makam hakikat:
Suasana yang ada pengalaman mengenai hal-hal ketuhanan seperti
menyaksikan suasana ilmu Tuhan atau urusan pentadbiran Tuhan. Orang yang
berada pada makam hakikat hanya melihat Tuhan, dengan Tuhan dan kepada
Tuhan.
makam Hakikat Muhammad: Nur Allah
merupakan sumber kepada segala kewujudan. Setiap makhluk yang Tuhan
ciptakan adalah berdasarkan hakikat berkenaan yang ada pada sisi Allah
s.w.t. Hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t itu adalah terjemahan
kepada keadaan Nur Allah s.w.t. Kesemua hakikat-hakikat tersebut
menceritakan sebahagian daripada keadaan Nur Allah s.w.t kecuali satu
hakikat. Hakikat yang satu ini merupakan terjemahan sepenuhnya mengenai
Nur Allah s.w.t. Hakikat yang mendapat penguasaan Nur Allah s.w.t secara
keseluruhan itu adalah hakikat yang berdasarkan kepadanya Nabi Muhammad
s.a.w diciptakan dan ia dinamakan Hakikat Muhammad. Jadi, Hakikat
Muhammad merupakan hakikat yang menyeluruh sementara hakikat-hakikat
yang lain adalah umpama cabang-cabangnya. Oleh yang demikian terdapat
‘jambatan' di antara hakikat-hakikat yang lain dengan Hakikat Muhammad.
Oleh kerana susunan hakikat yang demikian, maka ada dari kalangan
hamba-hamba Allah yang dapat menyeberangi jambatan tersebut untuk sampai
kepada Hakikat Muhammad. Keadaan ini berlaku dalam pengalaman
kerohanian semata-mata, bukan perjalanan secara nyata. Hamba yang
mengalami suasana demikian dikatakan mencapai makam Hakikat Muhammad.
Pada makam ini hati si hamba dikuasai oleh rasa kecintaan teramat sangat
kepada Allah s.w.t dan rasa yang demikian membuat hatinya berhadapan
sepenuhnya dengan Allah s.w.t.
makam hamba pilihan:
Hamba yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk memikul sesuatu tugas akan
dibawa kepada jalan yang akan memantapkan kerohaniannya sehingga dia
layak memikul tugas berkenaan. Dalam proses tersebut si hamba dihadapkan
dengan ujian bala bencana. Tujuan bala tersebut bukanlah untuk
memusnahkan si hamba itu tetapi untuk membentuk dirinya. Oleh yang
demikian Allah s.w.t memperkuatkan hamba-Nya itu dengan bekalan
kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi ujian merupakan latihan yang
sangat berkesan membentuk kerohanian seseorang. Dalam menuju kemantapan
si hamba dibekalkan pula dengan kekuatan reda. Bila kerohaniannya sudah
cukup mantap dicanai oleh keredaan dia menetap dalam suasana yang
dipanggil makam hamba pilihan. Dalam suasana ini dia sudah benar-benar
bersedia untuk memikul beban tugas yang Allah s.w.t sediakan untuknya.
makam ihsan:
Apabila hati seseorang hamba itu dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t
pada setiap masa maka ia dikatakan mencapai makam ihsan.
makam ikhlas:
Ikhlas peringkat pertama adalah ikhlas yang dipaksakan samada sebelum
melakukan sesuatu perbuatan ataupun sesudah melakukannya. Seseorang itu
perlu mengingatkan dan mengawasi hatinya agar keikhlasan tidak
dirosakkan oleh ungkitan ataupun perasaan riak. Setelah keikhlasan sudah
menjadi sifat dan keperibadian, seseorang itu tidak perlu
memperingatkan dan mengawasi hatinya daripada anasir yang merosakkan
keikhlasan itu, malah tidak terlintas pada hatinya tentang perbuatannya
itu ikhlas atau tidak. Hamba yang sudah benar kedudukannya dengan
Tuhannya akan memiliki keikhlasan secara spontan pada setiap amalannya
tanpa dia perlu memperjelaskan niatnya. Suasana yang demikian dinamakan
makam ikhlas.
makam insan: Setelah melepasi
peringkat fana dan baqa dalam perjalanan kerohanian seseorang salik itu
kembali kepada kesedaran manusia biasa, iaitu dia kembali kepada makam
insan.
makam Jabarut: Dalam perjalanan menaik
kerohanian salik akan sampai kepada peringkat penguasaan sifat Tuhan
terhadap hatinya. Dia dikatakan memasuki makam jabarut.
makam kalbu:
Apabila salik dapat melepaskan pengaruh alam benda dan tarikan hawa
nafsu daripada hatinya, dia masuk kepada kesedaran hati. Dia dikatakan
mencapai makam kalbu.
makam keesaan: Allah
s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Esa. Kekuatan akal dan khayal tidak mampu
menyingkap atau menghuraikan keadaan keesaan Tuhan itu. Keesaan Tuhan
tersingkap melalui pengalaman kerohanian. Dalam suasana keesaan itu
seseorang diizinkan merasai ketiadaan diri dan segala yang lain, yang
ada hanyalah Allah s.w.t.
makam kehambaan: Keadaan orang yang menyaksikan kehambaan dirinya dan ketuhanan Allah s.w.t.
makam kehampiran: Suasana hati yang merasai kehampiran dengan Allah s.w.t.
makam ketuhanan: Hal-hal atau keadaan ketuhanan. Sebahagian orang mengalami jazbah dan merasai hal-hal atau keadaan tersebut.
makam keteguhan:
Sebelum mencapai satu tahap kematangan kerohanian, hati salik berada
dalam keadaan berbolak-balik. Keresahan dan dukacita masih berpeluang
memasuki hatinya. Setelah dia melepasi peringkat tersebut kesabaran,
penyerahan dan keredaannya kepada Allah s.w.t menjadi teguh. Dia
memasuki makam ketetapan yang penuh dengan ketenangan.
makam kewalian:
Hamba yang sampai kepada makam ketetapan dibawa kepada penjagaan dan
pemeliharaan Allah s.w.t. Tuhan memelihara hatinya dan anggotanya
daripada melakukan maksiat. Dia dipermudahkan melakukan ibadat dan
kebajikan. Apa sahaja yang sampai kepadanya sudah ditapis. Dia hanya
menerima yang bersih dan tiada kemudaratan sahaja. Apabila dia terbabas
kepada melakukan kesalahan dia dengan segera dibawa kembali kepada jalan
yang benar. Suasana demikian dinamakan makam kewalian.
makam khalifah: Kedudukan yang layak menjadikan seseorang khalifah kerohanian yang boleh membimbing orang lain.
makam Lahut: Hal Zat Allah s.w.t yang melepasi semua penyifatan.
makam mahabbah:
Apabila hati hamba mempunyai pertalian dengan hakikat dirinya dan
terbuka hubungan dengan Hakikat Muhammad akan memancarlah nur yang
membukakan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Allah s.w.t. Dia
dikatakan mencapai makam mahabbah.
makam makrifat: Hamba yang sudah sampai kepada peringkat mengenal Allah s.w.t secara hakiki dikatakan memperolehi makam makrifat.
makam melihat Allah s.w.t.:
Hati yang akrab dengan Allah s.w.t berada dalam keadaan menyaksikan
sesuatu mengenai-Nya pada setiap masa dan setiap suasana. Dia
menyaksikan sesuatu mengenai Allah s.w.t pada dua perkara yang
bertentangan dengan sekali pandang. Perjalanan hukum sebab musabab dan
pergerakan makhluk di dalamnya tidak menutup pandangannya daripada
menyaksikan rububiah. Dia dikatakan mencapai makam melihat Allah s.w.t.
Melihat-Nya bukanlah dengan mata di kepala tetapi ia adalah penyaksian
mata hati yang lahir daripada kecintaan dan kerinduan kepada-Nya.
makam Mukmin:
Apabila kecintaan terhadap Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada
jalannya melebihi daripada segala-galanya maka layaklah seseorang muslim
itu disebut sebagai berada pada makam Mukmin.
makam muqarrabin:
Hati yang sudah melimpah-ruah dengan Nur Ilahi akan merasakan keakraban
dengan-Nya. Tidak ada lagi hijab dan jarak yang memisahkan di antara
hamba dengan Tuhan. Allah s.w.t disaksikan di mana-mana, pada segala
sesuatu dan pada setiap waktu. Apa sahaja yang dipandang menjadi cermin
untuk melihat sesuatu mengenai-Nya. Apa sahaja yang sampai kepada hati
adalah umpama tutur-kata-Nya. Beginilah suasana hati yang merasai
kehampiran dan keakraban dengan Tuhan atau yang sampai kepada makam
muqarrabin.
makam Muslim: Apabila seseorang
Islam dapat berpegang teguh dengan peraturan Islam dan mengamalkannya
dengan sebaik mungkin maka layaklah dia mendapat makam Muslim.
makam musyahadah:
Keakraban dan kehampiran dengan Allah s.w.t membawa hati si hamba
kepada hal atau suasana kerohanian yang dipanggil saling berhadapan dan
berpandangan dengan Tuhan. Inilah makam musyahadah.
makam muttaqin: Apabila sifat ketakwaan sudah teguh seseorang hamba itu mencapai makam muttaqin.
makam nafsu:
Sifat nafsu boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu nafsu yang
keji dan nafsu yang terpuji. Jika sifat nafsu yang keji menguasai hati
maka hati itu berada dalam makam nafsu yang keji. Jika sifat nafsu yang
terpuji menguasai hati maka hati berada dalam makam nafsu yang terpuji.
Makam nafsu yang paling keji ialah nafsu ammarah. Makam nafsu yang
terpuji ialah muthmainnah ke atas. Nafsu yang keji menghijab hati
daripada menerima nur dari alam ghaib, dengan demikian menghalang cahaya
iman daripada memasuki hati.
makam penetapan:
Apabila pencarian telah berakhir dan pengalaman kerohanian telah
menemukan Yang Haq maka seseorang itu mendapat kepastian mengenai
ketuhanan dan kehambaan yang telah mengelirukannya dahulu. Ketika
mencari pandangannya masih diliputi oleh keraguan dan ketidak-pastian.
Dia masih ‘memandang ke atas' atau dalam keadaan mencari atau menanti
yang dia sendiri tidak tahu apa yang dicari dan dinanti. Bila Kebenaran
Hakiki dibukakan kepadanya dia mendapat keyakinan dengan pegangan atau
iktikadnya dan ianya tidak bergoncang lagi. Dia dikatakan memperolehi
makam penetapan.
makam penyaksian: Pada makam
penyaksian mata hati sentiasa memandang kepada Allah s.w.t. Apa sahaja
yang dilihat dan dihadapi membuka pandangan hati kepada sesuatu yang
mengenai Tuhan, seperti nama-Nya, sifat-Nya, kebesaran-Nya,
kemuliaan-Nya dan lain-lain. Pada makam ini Allah s.w.t dikenali melalui
dua perkara yang bertentangan. Pertentangan tersebut tidak menutup
pandangan hati untuk melihat kehadiran Allah s.w.t pada kedua-dua
perkara tersebut. Apabila kehadiran Allah s.w.t dapat disaksikan atau
dirasakan pada dua perkara yang berlawanan dengan sekali pandang, maka
seseorang itu dikatakan berada pada makam penyaksian.
makam pilihan:
Apabila Allah s.w.t memilih seseorang hamba-Nya bagi sesuatu tujuan
menurut kehendak-Nya, si hamba itu akan dibawa melalui berbagai-bagai
proses dan latihan kerohanian sehingga dia berada dalam keadaan layak
dan kuat untuk menanggung beban tugas yang akan Allah s.w.t letakkan di
atas bahunya. Hamba yang sudah layak memikul tugas itu dikatakan berada
pada makam pilihan. Dia dipilih oleh Allah s.w.t untuk melaksanakan
sesuatu urusan-Nya demi kebaikan agama-Nya dan makhluk-Nya.
makam reda:
Setelah hamba berjaya melepasi ujian dengan kesabaran yang teguh dia
masuk pula kepada suasana reda dengan takdir Allah s.w.t. Bila sifat
reda sudah teguh pada hatinya dia mencapai makam reda.
makam roh:
Roh atau rohani pada asal kejadiannya adalah suci bersih. Percantuman
dengan jasad menyebabkan wujud hijab-hijab yang menutup keaslian roh
itu. Setelah melalui beberapa proses dan latihan kerohanian hijab-hijab
tersebut dapat disingkapkan. Keaslian roh muncul semula. Semua ini
dinamakan makam roh.
makam sabar: Hati yang teguh dengan sifat kesabaran berada dalam makam sabar.
makam siddiqiyat:
Makam orang yang benar, iaitu orang yang bersesuaian kehendaknya dan
pebuatannya dengan kehendak Allah s.w.t dan peraturan agama-Nya.
makam Sir:
Bila hati kembali kepada kesucian dan kemurniaannya yang asli dan
kembali memakai sifat rohani yang sejati, ia dikatakan berada pada makam
sir.
makam syuhud: Makam syuhud adalah makam penyaksian iaitu menyaksikan rububiah pada setiap waktu dan semua suasana.
makam takdir:
Apabila hamba reda sepenuhnya kepada kehendak dan ketentuan Allah
s.w.t dia dikatakan mencapai makam takdir. Kesenangan dan kesusahan
menjadi dua perkara yang serupa baginya, iaitu takdir Tuhan untuknya.
makam tajrid:
Suasana hati yang bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t, teguh
dengan sifat-sifat sabar, tawakal, reda dan ikhlas kepada-Nya. Karenah
makhluk dan teka teki sebab musabab tidak melemahkan pergantungan dan
penyerahannya kepada Allah s.w.t.
makam tauhid sifat:
Pada makam tauhid sifat hamba menyaksikan kesempurnaan dan keelokan
sifat Allah s.w.t. Dia tidak melihat ada makhluk yang berkuasa
mendatangkan kemudaratan dan kemanfaatan kepada sesiapa pun. Penyaksian
hatinya adalah Allah s.w.t jualah yang berkuasa dan Dia jualah yang
hidup. Dia Berdiri Dengan Sendiri dengan segala sifat kesempurnaan-Nya.
makam tiada doa:
Bila ingatan dan kesedaran terhadap diri sendiri serta kehendak diri
sudah lebur di dalam hal ketuhanan tidak ada apa lagi yang mendorong si
hamba berdoa kepada Tuhan. Bila dirinya dikembalikan bersama-sama
kehendaknya dia kembali kepada suasana yang ada permintaan dan doa.
makrifat:
Pengenalan terhadap hakikat-hakikat yang dialami oleh hati yang membawa
kepada pengenalan terhadap Tuhan. makrifat diperolehi setelah
terjadinya kasyaf, iaitu pembukaan kepada keghaiban.
makrifatullah:
Hasil daripada pengalaman mengenai hakikat-hakikat seseorang hamba itu
memperolehi makrifatullah, iaitu mengenal Allah s.w.t sekadar yang Dia
mahu diri-Nya dikenali.
makruf: Perbuatan baik yang sesuai dengan nilai-nilai murni kemanusiaan yang dilakukan kerana mentaati perintah Allah s.w.t.
malakut: Malaikat. Alam malakut adalah alam malaikat.
mansuh: Dibatalkan.
mardhiah: Nafsu mardhiah.
mata hati:
Kebolehan atau bakat untuk menyaksikan perkara ghaib dan hal-hal
ketuhanan yang ada pada hati, juga kebolehan hati untuk mengenal hakikat
sesuatu.. Mata hati dapat melihat kejahatan syaitan sekalipun syaitan
datang sebagai orang yang kelihatan alim dan warak. Lebih penting lagi
mata hati mampu menyaksikan sesuatu mengenai Tuhan pada sesuatu perkara
dan kejadian yang disaksikannya. Walaupun digunakan istilah mata hati
tetapi ianya bukanlah bakat melihat seperti mata zahir di kepala. Mata
hati melihat dan mendengar sekaligus. Suasana alam ghaib bukanlah
seperti alam nyata. Rupa dan bahasa alam ghaib tidak sama dengan rupa
dan bahasa alam nyata. Walaupun rupa dan bahasanya berbeza namun, mata
hati boleh mengenal rupa tersebut dan memahami bahasa berkenaan.
Keadaannya samalah seperti orang yang bermimpi menemui seseorang yang
lain. Orang yang bermimpi itu mengenali orang yang ditemuinya itu
walaupun orang tersebut tidak memperkenalkan dirinya. Orang yang
bermimpi itu juga mengetahui apa yang diberitahu oleh orang yang
berkenaan walaupun orang tersebut tidak berkata apa-apa. Demikianlah
halnya mata hati, melihat dan mendengar sekaligus, mengenali dan
memahami apa yang ditemuinya.
mati hisi:
Dalam suasana ini apa juga yang mengisi alam ini lenyap dari alam
perasaan. Tidak ada lagi pemikiran, perasaan, bahasa, ruang, masa,
ukuran dan rupa bentuk. Dia mengalami suasana yang kosong, tiada isi,
tiada rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan apa-apa. Hatinya
dikuasai oleh Wujud Allah s.w.t semata-mata, tidak ada yang lain.
Keadaan kerohanian pada peringkat ini adalah menyaksikan zat yang kosong
dari makhluk, yang maujud hanya Allah s.w.t.
mati maknawi:
Apabila seseorang sampai kepada peringkat keasyikan terhadap sifat
Allah s.w.t bakat diri zahirnya dikuasai oleh bakat diri batin atau hati
nuraninya. Penglihatan mata zahir dikuasai oleh penglihatan mata hati.
Benda-benda alam tidak lagi menarik perhatiannya. Sifat-sifat alam benda
tidak berbekas pada hatinya ketika mata hatinya memandang kepada sifat
Allah s.w.t Yang Maha Sempurna dan Kekal. Kesedaran pancainderanya
hilang dan dia dikuasai oleh suasana sifat Allah s.w.t. Kefanaan pada
peringkat ini membuat seseorang melihat kepada keabadian. Dia tidak lagi
melihat kepada jasad yang akan binasa dan tidak juga kepada dunia yang
bersifat sementara. Dia dikuasai oleh suasana rohani sepenuhnya
mati surri:
Pengaruh nur dari alam ghaib kepada hati menyebabkan segala kewujudan
yang sementara dan sifat kemanusiaan terhapus dari alam perasaan atau
hati. Hatinya dikuasai oleh suasana alam ghaib yang bersifat nur. Dalam
suasana demikian pengaruh nama Allah s.w.t sangat memberi bekas pada
hatinya. Orang yang mengalami kefanaan ini sudah terputus dari
sifat-sifat kemanusiaan maka lahirlah perwatakan yang ganjil dan aneh,
tidak secucuk dengan tatasusila dan adab masyarakat. Percakapannya sukar
dimengerti dan kadang-kadang menyinggung perasaan orang lain. Mungkin
juga terkeluar dari mulutnya ucapan yang pada zahirnya bersalahan dengan
syariat.
mati tabii: Apabila hati seseorang
mendapat keasyikan terhadap hal ketuhanan fikiran dan pancainderanya
menjadi tidak aktif. Pendengaran dan penglihatan zahir tidak memberi
kesan kepada hati dan fikiran. Pemikiran, perasaan dan keinginannya
tidak memberi bekas kepada hatinya. Dia melihat kelakuan dirinya terjadi
diluar kawalannya dan dia tidak berupaya menyekat apa yang mahu
terjadi itu. Dia merasakan seolah-olah kuasa ghaib mengheretnya untuk
berbuat sesuatu dan dia tidak berupaya menentang kuasa tersebut.
Hubungan hatinya dengan Allah s.w.t sangat erat hinggakan setiap kali
dia menyebut Allah hatinya merasakan seolah-olah Allah menjawab
seruannya itu. Pada peringkat ini kesedaran diri lenyap di dalam lakuan
Allah s.w.t. Hatinya menghayati bahawa Allah s.w.t jualah yang berkuasa
melakukan segala sesuatu.
Mikraj: Perjalanan
Rasulullah s.a.w dari Baitul Makdis naik ke alam langit-langit, sampai
ke Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam Arasy hingga ke tempat
yang paling tinggi di Arasy. Di sana baginda s.a.w menerima perintah
sembahyang fardu.
muazzin: Juru bang.
mubah: Perkara yang pada dasarnya adalah halal tetapi dikhuatiri bercampur dengan perkara yang haram.
Muhajirin: Orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.
mujahadah: Perjuangan mengawal hawa nafsu dan membuang sifat-sifat yang tercela, menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.
mulhid:
Orang yang berpegang kepada fahaman wahdatul wujud dan membuang syariat
hanya sekadar bersandar kepada ilmu tanpa melalui pengalaman kerohanian
mengenai hakikat.
muqarrabin: Orang yang merasakan akan kehadiran Allah s.w.t pada setiap ketika.
muridin: Sama seperti salik.
mursyid:
Guru yang arif mengenai syariat zahir dan syariat batin dan juga
mengamalkan kedua-duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis ilmu
iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia memahami selok-belok perjalanan
kerohanian dan mampu menghuraikan pengalaman-pengalaman kerohanian yang
ditempuhi oleh muridnya iaitu orang salik. Guru yang demikian memiliki
kasyaf qulub, iaitu boleh membaca perkembangan pemikiran dan jiwa
muridnya. Bakat tersebut memudahkan mursyid itu membimbing muridnya.
musyahadah:
Saling berhadapan, iaitu hamba berhadapan dengan Tuhan. Apa yang
berlaku bukanlah berhadapan secara langsung. Ia adalah pengalaman
kerohanian yang menyentuh hal ketuhanan. Tuhan membukakan hijab supaya
hamba dapat mengenali-Nya sekadar yang Dia mahu diri-Nya dikenali.
muttakhaliq:
Orang yang memasuki alam kerohanian dan mengalami hal ketuhanan. Sifat,
keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya berubah. Segala sesuatu
diisbatkannya kepada Tuhan. Dia samada melihat dirinya sebagai alat dan
Tuhan yang menggunakan alat ataupun dia melihat Tuhan mengurniakan
kepadanya alat dan dia sendiri yang menggunakan alat tersebut.
muttaqin:
Orang yang menjalankan perintah Allah s.w.t dengan tepat dan
bersungguh-sungguh meninggalkan larangan-Nya, iaitu orang yang bertakwa.
muwahhid: Orang yang dikuasai oleh hal di mana
kesedaran dan ingatannya terhadap dirinya dan sekalian makhluk sudah
tidak ada lagi. Dia dikuasai oleh suasana ‘Allah' semata-mata. Dia
melihat ‘Allah', mendengar ‘Allah' dan merasa ‘Allah' pada semua perkara
dan ketika.
mazhab: Aliran kefahaman mengenai agama.
Mikraj:
Perjalanan Rasulullah s.a.w dari Baitul Makdis naik ke Alam
Langit-langit, sampai ke Sidratul Muntaha dan seterusnya memasuki alam
Arasy hingga ke tempat yang paling tinggi di Arasy. Di sana baginda
s.a.w menerima perintah sembahyang fardu.
Muhajiirin: Orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah.
mujahadah: Perjuangan mengawal hawa nafsu dan membuang sifat-sifat yang tercela, menggantikannya dengan sifat-sifat yang terpuji.
Mujahidin: Tentera yang berjuang demi jihad pada jalan Allah s.w.t.
mujtahid: Orang yang berkelayakan untuk berijtihad.
muktabar: Kedudukan atau kebolehan yang diperakui oleh orang-orang yang mempunyai ilmu dalam bidang berkenaan.
mulhamah: Nafsu mulhamah.
mumkinul wujud: Wujud makhluk.
munafik:
Munafik kelas pertama muncul di Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Mereka dipimpin oleh Abdullah bin Ubai. Mereka menolak kerasulan Nabi
Muhammad s.a.w. Mereka tidak memperakui bahawa wahyu itu datangnya dari
Tuhan. Mereka beranggapan Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang manusia
biasa, bukanlah seorang rasul yang diutus oleh Tuhan. Mereka beranggapan
wahyu hanyalah perkataan yang keluar daripada pemikiran Nabi Muhammad
s.a.w. Walaupun mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan agama
yang baginda s.a.w bawa namun, suasana di Madinah membuat mereka
terpaksa menyertai Islam. Mereka memeluk agama Islam secara zahir sahaja
sedangkan hati mereka menolaknya. Mereka menjadikan Islam bukan sebagai
agama Tuhan, tetapi hanyalah sebagai sebuah pertubuhan atau pergerakan
kemanusiaan. Oleh yang demikian mereka membuang ajaran dan peraturan
agama pada bila-bila masa sahaja yang mereka suka. Mereka juga gemar
mempersendakan kepercayaan agama yang mereka anggap lebih rendah
daripada nilai-nilai kemanusiaan yang ada dengan mereka. Sifat-sifat
munafik itu ‘berjalan' dari satu generasi ke generasi yang lain,
hinggalah kepada generasi sekarang. Kemunafikan yang ada bergantung
kepada kekuatan sifat-sifat munafik yang menguasai hati. Jika
sifat-sifat munafik itu sampai kepada tahap mampu menutup hati daripada
melihat kebenaran ajaran dan peraturan Islam maka sifat-sifat
kemunafikan itu bertukar menjadi kekufuran.
munkar:
Perkara baik menurut nilai-nilai murni kemanusiaan yang diperakui oleh
ajaran agama menjadi perkara makruf sementara perkara buruk pula menjadi
perkara munkar. Dalam agama, perbuatan makruf berhak mendapat pahala
dan perbuatan munkar layak menerima dosa.
muraqabah: Kehampiran hati dengan Allah s.w.t menyebabkan hati merasai bermuraqabah atau berhadapan dengan Tuhan.
mursyid:
Guru yang arif mengenai syariat zahir dan syariat batin dan juga
mengamalkan kedua-duanya. Guru tersebut memiliki kedua-dua jenis ilmu
iaitu ilmu fikah dan ilmu tasauf. Dia memahami selok-belok perjalanan
kerohanian dan mampu menghuraikan pengalaman-pengalaman kerohanian yang
ditempuhi oleh muridnya iaitu orang salik. Guru yang demikian memiliki
kasyaf qulub, iaitu boleh membaca perkembangan pemikiran dan jiwa
muridnya. Bakat tersebut memudahkan mursyid itu membimbing muridnya.
muta'allim: Orang yang menuntut ilmu.
muthmainnah: Nafsu muthmainnah.
Mutlak: Keadaan Tuhan yang Berdiri Dengan Sendiri.
mutahaqqiq:
Salik yang telah melepasi peringkat fana dan baqa dan kembali kepada
kesedaran kemanusiaan seperti biasa. Mutahaqqiq berkemampuan menguruskan
kehidupan di dalam dunia ini sebagaimana seorang manusia biasa, tidak
lagi terbawa-bawa dengan kemabukan dan latah.
muttakhaliq:
Muttakhaliq adalah orang yang memasuki alam kerohanian dan mengalami
hal ketuhanan. Sifat, keperibadian, daya-rasa dan daya-nilainya berubah.
Segala sesuatu diisbatkannya kepada Tuhan. Dia samada melihat dirinya
sebagai alat dan Tuhan yang menggunakan alat ataupun dia melihat Tuhan
mengurniakan kepadanya alat dan dia sendiri yang menggunakan alat
tersebut.
ISTILAH N - Z
nafs:
Diri manusia. Bila dipandang sebagai diri yang mempunyai keinginan ia
dipanggil nafsu. Bila dipandang sebagai diri yang berakal ia dipanggil
nafsu natiqah. Bila dipandang sebagai gabungan berbagai-bagai sifat ia
dinamakan hati. Nafsu, nafsu natiqah dan hati adalah diri manusia
sendiri yang dipandang melalui berbagai-bagai aspek.
nafsu ammarah:
Peringkat nafsu yang paling rendah dan paling kuat dikuasai oleh
syahwat, dunia dan syaitan. Hijab yang muncul melalui nafsu ini
menyebabkan tertutup hubungan hati dengan Tuhan. Nafsu mengarahkan semua
pancaindera dan akal kepada perkara-perkara keduniaan semata-mata. Hati
yang tidak menerima cahaya iman akan menghasilkan sifat-sifat ammarah
nafsu kamaliah:
Peringkat nafsu yang paling tinggi, iaitu tahap kesempurnaan nafsu.
Nafsu kamaliah adalah peringkat nafsu yang paling sempurna, suci bersih
dan murni.
nafsu lawwamah: Sifat nafsu yang
paling rendah, iaitu ammarah, adalah ego, enggan mengakui kesalahan diri
sendiri. Apabila sifat nafsu itu menjadi bertambah baik cahaya
kebenaran dapat menyelinap masuk ke dalam hati dan akal. Dalam suasana
yang demikian seseorang dapat melihat dan mengakui kesalahan dirinya.
Suasana diri yang boleh mengkeritik diri sendiri itu dinamakan peringkat
lawwamah.
nafsu mardhiah: Sifat nafsu yang luhur, yang diredai oleh Allah s.w.t.
nafsu mulhamah: Sifat nafsu sebelum memasuki kembali kepada suasana rohani yang asli.
nafsu muthmainnah:
Nafsu yang bersih, tulen dan asli yang menjadi sifat nafsu yang asal
kepunyaan rohani sebelum dipengaruhi oleh anasir jasad dan alam dunia.
Apabila dicemari oleh anasir jasad dan dunia tahap kesucian nafsu
menurun kepada mulhamah. Jika kekotoran bertambah lagi ia menurun kepada
tahap lawwamah. Nafsu yang sudah banyak tercemar dan berada pada tahap
yang paling hina dikenali sebagai ammarah.
nafsu radhiah:
Tingkat nafsu di antara muthmainnah dan mardhiah. Kemuncak fana berlaku
dalam peringkat radhiah. Orang radhiah lupa kepada dirinya dan makhluk
sekaliannya. Kesedarannya hanyalah pada Allah s.w.t.
nasut: Alam benda-benda.
nisbat: Istilah yang digunakan dalam tarekat Naqsabandiyah bagi menceritakan suasana yang tidak putus ingatannya kepada Allah s.w.t.
nur:
Unsur seni lagi latif yang termasuk dalam perkara Latifah Rabbaniah.
Nur bukanlah cahaya seperti cahaya lampu, cahaya matahari, cahaya kilat
dan lain-lain cahaya yang boleh dilihat. Kekuatan akal dan khayal tidak
mampu menghuraikan hakikat nur. Apa sahaja yang dinisbahkan kepada Tuhan
adalah dalam keadaan nur. Malaikat yang menjalankan perintah Tuhan
adalah nur. Roh yang menjadi urusan Tuhan adalah nur. Wahyu yang
diturunkan oleh Tuhan adalah nur. Taufik, hidayat dan rahmat Tuhan
adalah nur juga. Ilmu juga nur. Nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan
Hadrat Tuhan yang dirasai oleh hati adalah nur juga. Nur yang termasuk
di dalam golongan kewujudan yang diperintah, seperti malaikat dan roh
manusia, adalah makhluk dan menghuni ruang alam. Nur urusan Tuhan,
nama-nama, sifat-sifat dan Hadrat Tuhan bukanlah makhluk dan tidak
mengambil ruang. Nur yang dinisbahkan secara langsung kepada Tuhan
adalah keadaan atau hal Tuhan dan dipanggil Nur Allah. Walaupun terjadi
pengalaman kerohanian mengenai Nur Allah, seperti nama-nama-Nya,
sifat-sifat-Nya dan Hadrat-Nya, itu bukan bermakna Nur Allah masuk ke
dalam hati, fikiran atau khayalan manusia. Apa yang manusia alami
hanyalah gubahan Tuhan untuk melahirkan makrifat tentang Diri-Nya.
Gubahan Tuhan yang demikian membuka pengertian tentang hakikat ketuhanan
yang diselubungi oleh selimut ghaib yang kukuh. nurani: Unsur atau
anasir nur. Hati yang merupakan daging segempal adalah anasir nyata dan
dinamakan hati sanubari. Hati seni bukan anasir nyata. Ia adalah anasir
nur dan dinamakan hati nurani. Oleh kerana hati adalah daripada anasir
nur maka ia mampu menerima hal ketuhanan yang dari nur.
Nur Akal:
Akal ada dua jenis, iaitu akal zahir dan akal batin. Akal zahir
mengenderai otak. Akal batin adalah unsur nur. Apabila akal batin sudah
diterangi oleh nur baharulah perkara ketuhanan dapat difahami. Nur bagi
akal batin menerangi akal yang pada otak. Baharulah manusia dapat
memikirkan tentang ketuhanan dan perkara ghaib.
Nur al-Muwaajahah:
Nur al-muwaajahah berperanan membawa hamba ‘berhadapan' dan
‘menyaksikan' Tuhan dalam suasana "Tidak ada sesuatu yang serupa
dengan-Nya".
nurani: Unsur atau anasir nur.
Hati yang merupakan daging segempal adalah anasir nyata dan dinamakan
hati sanubari. Hati seni bukan anasir nyata. Ia adalah anasir nur dan
dinamakan hati nurani. Oleh kerana hati adalah daripada anasir nur maka
ia mampu menerima hal ketuhanan yang dari nur.
Nur Iman:
Cahaya iman. Iman adalah hubungan hati dengan Allah s.w.t. Hati adalah
bangsa nur atau nurani. Apa juga yang dari Allah s.w.t adalah dalam
unsur nur. Iman yang terpancar di dalam hati adalah juga nur. Nur Iman
yang menerangi hati nurani membuka hubungan dengan Nur Ilahi.
Nur Kalbu:
Nur yang memancar di dalam hati. Nur kalbu menerangi akal. Akal yang
diterangi oleh nur berguna bagi pengajian tentang perkara ghaib dan
ketuhanan. Tanpa sinaran Nur Kalbu akal tidak mampu bertafakur mengenai
perkara ghaib dan ketuhanan.
Nur Muhammad:
Urusan Tuhan yang berada pada sisi-Nya berhubung dengan penciptaan alam
makhluk. Bolehlah dikatakan bahawa sekalian alam makhluk termasuklah
manusia, jika disaksikan dalam Ilmu Tuhan maka sekaliannya disaksikan
sebagai Nur Muhammad. Jika dipandang sebagai hakikat maka ia adalah
Hakikat Insan dan juga Hakikat Alam. Nur Muhammad adalah suasana
pentadbiran Tuhan bukan makhluk yang mendiami ruang alam. Bekas alam
yang menerima bakat dan keupayaan Nur Muhammad itu dinamakan Roh
Muhammad.
Nur Sir: Nur Rahsia Allah s.w.t. Nur
sir yang menerima sinaran Nur Allah dan nur sir memancarkannya kepada
nur hati, lalu hati mengalami sesuatu hal ketuhanan. Apa yang Allah
s.w.t mahu sampaikan kepada hamba-Nya disampaikan-Nya kepada sir. Sir
menterjemahkan utusan Tuhan itu dalam bentuk nur dan nur tersebut
dihantarkan kepada hati. Hati yang mempunyai bakat makrifat memahami
perutusan nur yang dihantarkan oleh sir itu.
nur tawajjuh: Hati hanya boleh menghadap dan menghampiri Tuhan kerana peranan nur. Nur yang berperanan demikian dinamakan nur tawajjuh.
Nurullah: Nur Allah s.w.t.
Nur Zikir:
Ibadat yang dilakukan oleh seseorang hamba melahirkan nur. Wuduk
melahirkan nur. Sembahyang melahirkan nur. Zikir juga melahirkan nur.
Syarat bagi melahirkan nur dalam ibadat itu ialah ikhlas kerana Allah
s.w.t semata-mata. Setiap nur yang lahir daripada ibadat itu mempunyai
fungsinya masing-masing dalam membantu seseorang hamba mendekati dan
mengabdikan diri kepada Tuhan. Nur zikir melahirkan ingatan, kasih
sayang dan kerinduan kepada-Nya. Zikir yang sudah melahirkan nur akan
menambahkan kekuatan seseorang hamba dalam pengabdiannya kepada Tuhannya
dan dia memperolehi kelazatan dalam berbuat demikian.
Nyawa Insan:
Jasad hidup kerana Roh Haiwani dan Roh Haiwani pula memperolehi
penghidupan daripada Roh Insan atau Nyawa Insan yang dinamakan juga
Latifah Sir.
Pembimbing Hakiki: Di dalam
pengajian ketuhanan tidak ada istilah kebetulan. Tidak ada yang berlaku
secara kebetulan, tanpa dirancang atau ditadbir. Semua yang berlaku
adalah di bawah tadbir Allah s.w.t. Jika secara tiba-tiba seseorang itu
mendapat sesuatu pengetahuan atau terbuka kepadanya sesuatu jalan,
ianya berlaku bukanlah secara kebetulan tetapi menurut tadbir Tuhan.
Oleh kerana hal tersebut berlaku secara tiba-tiba sumber kedatangannya
tidak diketahui dengan jelas tetapi diyakini bahawa al-Haq, iaitu Tuhan
yang Maha Mengasihani memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya yang
berkenaan. Apabila pengajaran tersebut dinisbahkan kepada al-Haq atau
Tuhan, ia diistilahkan sebagai Pembimbing Hakiki. Orang yang menerima
bimbingan secara demikian dapat merasakan bahawa pengetahuan yang sampai
kepadanya adalah secara terancang bukan secara kebetulan. Kehadiran
Pembimbing Hakiki tersebut, walaupun tidak diketahui hakikatnya,
menambahkan keyakinan kepada hamba yang sedang berjalan pada jalan Tuhan
itu.
Pembimbing Rohani: Sama seperti Pembimbing Hakiki.
Penglihatan Mutlak:
Penglihatan Allah s.w.t yang bersifat Mutlak. Penglihatan Allah s.w.t
tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan. Jika dikatakan Allah s.w.t
Melihat makhluk-Nya, maka Dia Melihat makhluk-Nya itu sejak azali,
sebelum makhluk diciptakan. Dia Melihat makhluk-Nya tatkala makhluk itu
diciptakan. Dia Melihat makhluk-Nya sesudah makhluk diciptakan dan
sampailah kepada keabadian. Dia Melihat perbuatan makhluk sebelum
makhluk melakukan perbuatan itu, ketika makhluk melakukannya dan sesudah
makhluk melakukannya. Dia Melihat yang awal dan yang akhir, yang zahir
dan yang batin. Pada setiap perbuatan dan kejadian ada Penglihatan-Nya.
Pada setiap penglihatan makhluk ada juga Penglihatan-Nya. Oleh yang
demikian makhluk tidak dapat melakukan dan melihat sesuatu tanpa Allah
s.w.t Melihatnya.
Penyaksian Hakiki: Penyaksian
Hakiki mata hati adalah suasana hati yang sentiasa menyaksikan sesuatu
tentang Tuhan, pada setiap masa dan semua kejadian.
Perbendaharaan Yang Tersembunyi:
Rahsia-rahsia ketuhanan atau hakikat-hakikat yang berada pada sisi
Tuhan. Kumpulan hakikat-hakikat tersebut dinamakan Hakikat Muhammadiah.
Perintah Batin:
Hati nurani dinamakan juga Diri Batin. Nur dari alam ghaib diterima
oleh hati nurani atau Diri Batin itu. Nur yang dari alam ghaib mempunyai
kekuatan menguasai hati nurani. Perutusan yang disampaikan oleh nur
tersebut diterima oleh hati nurani seumpama menerima perintah, tidak
berupaya mengingkarinya. Hati kemudian memaksa pancainderanya untuk
melakukan menurut perutusan yang telah diterimanya. Hal yang demikian
dinamakan perintah batin. Orang yang menerima perintah batin ini sering
melakukan sesuatu yang pada zahirnya kelihatan tidak munasabah bagi
orang ramai. Namun begitu orang berkenaan tidak ragu-ragu melakukan
perkara yang telah disampaikan kepada Diri Batinnya itu sekalipun
dipandang remeh oleh orang lain.
Petunjuk Ilmu:
Hati nurani adalah unsur nur dan ilmu juga unsur nur. Nur ilmu memancar
kepada nur hati. Pancaran nur ilmu mengwujudkan sesuatu suasana di
dalam hati. Hati memahami perutusan yang dibawa oleh nur ilmu itu. Hal
yang demikian dinamakan petunjuk ilmu.
Petunjuk Laduni:
Apabila nur dari alam ghaib dinisbahkan kepada pekerjaan atau urusan
Tuhan ia dinamakan Petunjuk Laduni. Ia adalah bimbingan yang Allah s.w.t
sampaikan kepada hamba-Nya yang dikehendaki-Nya.
Qadak :
Urusan atau suasana Pentadbiran Tuhan mengenai sesuatu perkara. Ia
boleh juga dikatakan sebagai hakikat bagi kejadian Tuhan ataupun suasana
ilmu Tuhan yang mengenai makhluk-Nya. Apa juga yang Tuhan berkehendak
menciptakan sudah ada pada sisi-Nya, dalam Ilmu-Nya sebagai
Pentadbiran-Nya dan dipanggil hakikat-hakikat yang menguasai segala
kejadian.
Qadar: Apa yang terzahir atau berlaku
menurut Qadak yang pada sisi Tuhan atau menurut kehendak yang ada pada
Ilmu-Nya atau menurut hakikat-hakikat yang menguasai. Qadak berada pada
sisi Tuhan dan Qadar adalah yang ‘keluar' menurut Qadak tersebut. Qadak
adalah ilmu Tuhan dan Qadar adalah perbuatan-Nya menurut Ilmu-Nya. Boleh
juga jika maksud yang dijelaskan mengenai Qadak digunakan untuk Qadar
dan maksud untuk Qadar digunakan untuk Qadak. Sebahagian ulama
mentafsirkan Qadar sebagai suasana ilmu Tuhan dan Qadak pula suasana
perbuatan Tuhan. Kedua-dua bentuk pentafsiran tersebut boleh
diguna-pakai.
Qurbi Faraidh: Suasana kerohanian
di mana seseorang itu berubah kesedaran dan sifatnya. Dalam suasana
yang demikian seseorang itu melihat ketidak-upayaan dirinya dan dia
hanya menumpang daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Dia melihat apa
sahaja yang keluar daripadanya adalah di bawah kekuasaan dan perbuatan
Tuhan secara langsung tanpa dia ikut campur sedikitpun.
Qurbi Nawafil:
Suasana kerohanian di mana seseorang melihat dirinya sebagai bekas yang
Tuhan letakkan bakat-bakat dan keupayaan serta dia diizinkan
menggunakan bakat-bakat serta keupayaan tersebut. Orang yang demikian
melihat dirinya sebagai pengurus yang diberi kuasa untuk mentadbir apa
yang dibekalkan kepadanya.
Qutubul Aqtab: Ketua Agung sekalian wali-wali.
radhiah: Nafsu radhiah.
raghib:
Orang yang dilalaikan oleh dunia, syaitan dan dorongan hawa nafsu yang
rendah. Akalnya tidak terbuka untuk memikirkan tentang kebesaran dan
kemurahan Tuhan Hatinya hanya dipenuhi oleh tuntutan hawa nafsu, tidak
ada selira untuk mengingati Tuhan atau beribadat kepada Tuhan.
Rahsia:
Rahsia atau Sir adalah ‘perantara' yang kerananya penciptaan makhluk
menjadi mungkin. Ia menjadi pemangkin atau hijab kepada kewujudan
makhluk. Rahsia atau Sir inilah yang memungkinkan ada hubungan makhluk
dengan Tuhan. Hakikatnya hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahuinya.
Rahsia Allah s.w.t: Sama seperti Rahsia.
Roh Allah s.w.t:
Hakikat Roh. Urusan Tuhan yang berhubung dengan roh-roh. Ia dinamakan
Roh Allah, iaitu hakikat yang berada pada sisi Allah s.w.t yang
menguasai semua roh-roh.
Roh Insan: Latifah Sir.
Roh Muhammad: Roh yang paling latif yang menjadi penjana kepada sekalian kehidupan.
Roh Mutlak: Roh Allah s.w.t.
Roh Tuhan: Roh Allah s.w.t.
Rububiah: Suasana Pentadbiran Tuhan mengenai makhluk.
salat daim:
Sembahyang yang berkekalan. Ada beberapa pengertian mengenai salat
daim. Pertama, ia bermaksud sembahyang yang dilakukan secara berkekalan,
iaitu tidak meninggalkan sebarang sembahyang fardu. Kedua, ia bermaksud
hati sentiasa terikat dengan sembahyang, samada sedang melakukan
sembahyang atau sedang menunggu untuk mengerjakan sembahyang sebelum
masuk waktu sembahyang. Ke tiga, ia bermaksud suasana Latifah pada tahap
kesedaran sir. Dalam kesedaran tersebut muka hati sentiasa menghadap
kepada Allah s.w.t, tanpa diganggu oleh kesibukan pekerjaan atau
kehadiran makhluk yang perlu dilayani. Keadaannya samalah seperti
keadaan orang yang sedang berpuasa. Kesibukan dalam urusan harian tidak
menghilangkan suasana berpuasa pada hati orang berkenaan. Pada tahap
kesedaran sir setiap perbuatan dan perkataan menjadi ibadat.
salihin: Orang salih, iaitu orang beriman yang berjalan sesuai dengan peraturan syariat.
salik: Orang yang memasuki bidang latihan kerohanian.
salikin: Sama seperti salik.
sama'ah: Menceritakan kebaikan yang dilakukan bagi tujuan mendapatkan puji-pujian.
Samad:
Salah satu daripada nama-nama Allah s.w.t yang menceritakan tentang
hal-Nya. As-Samad membawa maksud bahawa Allah s.w.t jualah tempat
makhluk berhajat dan bergantung. Makhluk tidak mungkin bebas daripada
pergantungan kepada-Nya. As-Samad juga membawa maksud bahawa Allah s.w.t
sahajalah yang berkuasa menerima permohonan hamba dan
memperkenankannya. Selain itu as-Samad juga membawa maksud bahawa Allah
s.w.t adalah penghujung segala sesuatu. Segala doa, hajat, harapan,
cita-cita, khayalan dan sebagainya, walaupun dituju kepada sesiapa
sahaja namun, kesudahannya sampai kepada Dia juga. Tidak ada perkataan,
perbuatan, niat dan lain-lain yang terlepas daripada Allah as-Samad.
siddik:
Salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w.
Siddik bererti benar, iaitu Rasulullah s.a.w adalah benar dalam
penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w hanya menyampaikan apa yang
diperintahkan oleh Allah s.w.t. Baginda s.a.w tidak mengada-adakan
cerita dan tidak pula menyembunyikan sebarang perkhabaran yang
disampaikan oleh Allah s.w.t.
Sifat Hakiki: Sifat Allah s.w.t yang melampaui penyifatan dan ibarat.
Sir:
Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t yang menghubungkan makhluk dengan-Nya.
Hakikat hubungan tersebut tidak diketahui oleh makhluk.
Suara Hakiki:
Perintah batin, petunjuk ilmu, petunjuk laduni atau nur dari alam ghaib
diterima oleh hati nurani. Nur yang demikian sampai kepada hati dengan
membawa sesuatu perutusan dan pengertiannya ditanamkan kepada hati
seumpama menanam sebiji benih. Hati adalah umpama bumi yang menumbuhkan
benih tersebut. Setelah benih itu tumbuh maka pokoknya menjadi nyata.
Sehubungan dengan itu hati berperanan menterjemahkan perutusan segumpal
yang diterimanya. Dalam berbuat demikian hati seolah-olah menerima
pengajaran dan tutur-kata yang menghuraikan perutusan nur yang
diterimanya. ‘Tutur-kata' yang didengar atau difahami oleh hati itu
dinamakan Suara Hakiki. Ia adalah suara hati bukan suara manusia
berkata-kata secara nyata.
suhuf: Catatan wahyu
yang diturunkan kepada nabi-nabi yang sedikit bilangannya dinamakan
suhuf sementara yang lebih banyak dinamakan kitab.
syariat:
Hukum dan peraturan Tuhan mengenai sesuatu perkara yang wajib dipatuhi
oleh manusia. Syariat diturunkan kepada nabi-nabi dan mereka
menyampaikannya kepada umat manusia.
syariat batin: Peraturan syariat yang berhubung dengan amalan hati seperti niat, iman, tawakal dan sebagainya.
syariat zahir: Peraturan syariat yang berhubung dengan amalan zahir seperti cara-cara mengerjakan sembahyang, haji dan lain-lain.
syurgawi: Nikmat, kesejahteraan dan keselamatan yang ada di syurga.
syuhud:
Penyaksian dengan mata hati. Walaupun perkataan penyaksian digunakan
namun, syuhud bukanlah melihat semata-mata. Syuhud menggabungkan
penyaksian, pendengaran dan perasaan hati. Dalam syuhud apa yang
disaksikan itu jugalah yang didengar dan dirasakan. Gabungan bakat-bakat
yang ada pada hati itulah dinamakan syuhud.
syirik:
Melanggar sempadan yang memisahkan ketuhanan daripada kehambaan. Syirik
terjadi apabila taraf ketuhanan diturunkan sehingga menyamai taraf
kehambaan dan juga apabila taraf kehambaan dinaikkan sehingga menyamai
taraf ketuhanan. Syirik bukan sahaja terjadi dalam perkara penyembahan
malah perkara-perkara lain juga boleh menyebabkan syirik, seperti
pemujian, penyayangan, ketaatan dan sebagainya. Jika berlaku pemujian,
penyayangan dan ketaatan kepada makhluk sehingga membelakangi hak
ketuhanan Allah s.w.t, maka terdapatlah syirik padanya.
syuhada: Orang yang mati syahid, iaitu orang yang mati dalam peperangan pada jalan Allah s.w.t.
syuhudi:
Penyaksian dengan mata hati. Walaupun perkataan penyaksian digunakan
namun, syuhud bukanlah melihat semata-mata. Syuhud menggabungkan
penyaksian, pendengaran dan perasaan hati. Dalam syuhud apa yang
disaksikan itu jugalah yang didengar dan dirasakan. Gabungan bakat-bakat
yang ada pada hati itulah dinamakan syuhud.
syurgawi: Sifat-sifat yang ada dalam syurga seperti keselamatan dan kelazatan.
tabligh:
Salah satu daripada sifat-sifat yang wajib bagi Rasulullah s.a.w.
Tabligh bermaksud menyampaikan, iaitu Rasulllah s.a.w menyampaikan
sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t, tanpa menyembunyikan
atau meminda sesuatu.
tafakur: Proses
pengambilan ilmu oleh akal zahir daripada akal yang bersuluhkan nur.
Proses ini berlaku sebagai perbincangan dengan diri sendiri. Diri
sendiri yang menjadi penanya dan penjawab. Bantuan nur membuka kefahaman
terhadap perkara-perkara yang tidak difahami sebelumnya. Aspek diri
yang bertanya mendapat jawapan yang memuaskan daripada aspek diri yang
menjawab.
tajalli: Hal ketuhanan yang Allah
s.w.t gubahkan bagi memperkenalkan Diri-Nya dan gubahan tersebut
dihantarkan-Nya kepada hati hamba-Nya.
tajalliyat: Tajalli.
tajalli ilmu: Pembukaan terhadap pengetahuan mengenai pengalaman kerohanian yang telah dilalui dan hasilnya tercapailah makrifat.
tajalli Rahmani:
Pembukaan mengenai hal-hal ketuhanan yang dipengaruhi oleh Tarikan
ketuhanan secara langsung. Dalam tajalli Rahmani salik mencapai fana dan
ikut hancur adalah ego dirinya. Apabila salik kembali kepada kesedaran
semula dia kembali dengan tawaduk, tanpa ego diri, sombong atau takbur.
tajalli roh:
Pembukaan mengenai perkara ghaib berlandaskan kekuatan Roh Haiwani yang
dihijabkan oleh sifat-sifat nafsu yang rendah. Tajalli roh mendorong
kepada penyaksian terhadap ketuhanan roh. Orang yang menerima tajalli
roh menjadi semakin ego, merasakan ketuhanan diri dan membuang syariat.
tajalli rohani: Sama seperti tajalli roh.
tajrid:
Suasana hati yang melihat sesuatu perkara dari sumbernya, iaitu Tuhan.
Kepantasan mata hati memandang kepada Tuhan menyebabkan hukum sebab
musabab tidak mempengaruhinya. Hati yang demikian kuat berserah dan
bergantung kepada Tuhan, bukan kepada makhluk. Walaupun tindakan menurut
hukum sebab musabab diambil namun, keberkesanan diletakkan kepada Tuhan
dan ketentuan-Nya, bukan pada sebab musabab tersebut.
takwa:
Sempadan hukum dan peraturan Tuhan yang perlu dijaga oleh seseorang
hamba. Hamba yang bertakwa memelihara dirinya agar tidak terdorong untuk
keluar dari sempadan tersebut. Dalam berbuat demikian hati dikuasai
oleh rasa taat, merendah diri, takut, harap dan sebagainya kepada Tuhan.
Gabungan sifat-sifat kehambaan tersebut merupakan sifat takwa.
tanzih: Keadaan Tuhan yang melampaui penyifatan.
taqarrub: Mendekati Allah s.w.t.
tarekat: Jalan, cara atau sistem yang digunakan bagi tujuan mendekatkan diri kepada Tuhan.
tarekat Islam: Peraturan syariat zahir dan syariat batin.
tarekat kehidupan harian: Menyesuaikan kehidupan yang dijalani harian dengan peraturan syariat zahir dan syariat batin.
tarekat sufi: Jalan kesufian.
tarekat tasauf:
Pendekatan diri kepada Tuhan melalui cara tasauf menurut kaedah yang
dibentuk oleh guru-guru tasauf yang telah mencuba sendiri sesuatu kaedah
itu.
tarekat ujian bala: Ujian bala seperti
penyakit, kesusahan mencari rezeki, kemalangan dan lain-lain adalah
merupakan proses latihan kepada jiwa agar ia kembali kepada Tuhan.
tasauf: Satu aliran ilmu dan kefahaman agama yang menitik-beratkan soal hati, penyuciannya dan hubungannya dengan Tuhan.
tasybih: Keadaan Tuhan yang boleh disifatkan.
taubat
nasuha: Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat jenis ini adalah seumpama
mencabut rumput dengan akarnya sekali agar rumput tersebut tidak
berpeluang tumbuh kembali. Orang yang melakukan taubat nasuha bukan
sahaja berhenti melakukan kesalahan malah faktor-faktor yang boleh
membuka pintu kepada kesalahan tersebut juga dihapuskan.
taufik: Pertolongan Tuhan.
tauhid syuhudi: Penyaksian satu wujud oleh mata hati, dinamakan wahdatul syuhud.
tauhid wujudi: Keyakinan atau kepercayaan tentang satu wujud, dinamakan wahdatul wujud.
tawaduk: Merendah diri, terutamanya dengan Allah s.w.t.
tawajjuh:
Salah satu suasana kerohanian di mana berlaku ‘lonjakan' kesedaran
daripada kesedaran kebendaan kepada kesedaran hakikat yang membawa hati
merasakan kehampiran Allah s.w.t.
tawakal:
Meletakkan harapan, pergantungan dan penyerahan hanya kepada Allah
s.w.t. Tawakal beserta setiap amalan, di sepanjang amalan itu, bukan
hanya datang sesudah amalan dibuat. Tawakal yang menemani setiap langkah
pekerjaan membuat hati sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, melihat
Kudrat dan Iradat-Nya, Haula dan Kuwwata-Nya serta Qadak dan Qadar-Nya.
Hamba tidak terlepas daripada berhajat dan bergantung kepada Allah s.w.t
walau satu detik pun. Allah s.w.t memiliki sifat iftiqar yang
mewajibkan hamba memerlukan-Nya. Di atas kefaqiran terhadap Allah s.w.t
itulah hamba tidak putus bertawakal kepada-Nya.
tawasul:
Mengadakan perantaraan bagi menyampaikan seseorang kepada Allah s.w.t.
Ada murid yang bertawasul kepada gurunya bagi mendekatkan dirinya dengan
Tuhan. Ada orang yang bertawasul kepada amalan baiknya bagi
menyampaikan hajatnya kepada Tuhan. Ada juga orang yang bertawasul
kepada arwah orang yang sudah meninggal dunia bagi sesuatu maksud.
ubudiah: Suasana kehambaan, iaitu wujud yang diperintah dan tertakluk kepada hukum ketentuan Tuhan.
ukhrawi: Perkara atau suasana akhirat.
Uluhiyah: Suasana ketuhanan, iaitu Wujud yang memerintah dan mentadbir. Sekalian makhluk berhajat dan bergantung kepada-Nya.
uns: Hati yang telah merasai jalinan hubungan dengan Allah s.w.t dan lahir rasa kasih terhadap-Nya.
uzlah:
Pengasingan diri di tempat yang sunyi bagi tujuan menyucikan hati,
membuang sifat-sifat yang tercela, menambahkan ibadat kepada Tuhan dan
seterusnya mendekati-Nya.
Wahadiyyah: Suasana
ketuhanan yang dinamakan nama-nama Tuhan. Nama-nama Tuhan yang banyak
memperincikan keadaan Tuhan Yang Satu. Secara hakikat suasana yang
demikian dinamakan Hakikat Insan.
Wahdat:
Suasana ketuhanan yang dipanggil sifat-sifat Tuhan. Suasana sifat
menceritakan keadaan nama-nama yang terkumpul, tidak diperincikan.
Semuanya berada dalam satu kesatuan. Satu nama Tuhan menceritakan satu
keadaan Tuhan tetapi nama Allah menceritakan keseluruhan aspek Tuhan.
Wahadiyyah menceritakan aspek Tuhan secara satu-satu. Wahdat pula
menceritakan aspek Tuhan Yang Satu iaitu Allah s.w.t, tetapi ia bukanlah
Allah s.w.t. Wahadiyyah dan Wahdat hanyalah keadaan atau perihal Allah
s.w.t tetapi bukanlah Dia. Suasana Wahdat ini dinamakan Hakikat
Muhammadiah, yang menerima maklumat yang lengkap daripada Allah s.w.t.
Maklumat Hakikat Muhammadiah itu kemudiannya disalurkan kepada
cabang-cabang hakikat.
wahdatul ma'abud:
Fahaman dan kepercayaan kepada satu Tuhan yang wajib disembah, ditaati
dan segala pengabdian hanyalah untuk-Nya. Syariat mengajarkan wahdatul
ma'abud, tidak ada Tuhan melainkan Allah s.w.t.
wahdatul syuhud: Menyaksikan satu wujud. Penyaksian tersebut berlaku dalam pengalaman kerohanian.
wahdatul wujud:
Doktrin yang membawa fahaman dan kepercayaan bahawa hanya satu wujud
sahaja yang ada iaitu wujud Tuhan. Wujud makhluk dan wujud Tuhan adalah
wujud yang sama. Wujud hamba dan wujud Tuhan bersatu pada satu wujud.
wahyu:
Petunjuk dan ajaran yang Allah s.w.t turunkan kepada nabi-nabi melalui
beberapa cara, cara yang paling terkenal adalah wahyu yang dibawa oleh
Jibrail. Wahyu tahap pertama diterima oleh Alam Hijab dalam peringkat
Alam Arasy. Tidak ada makhluk mengetahui keadaan nur wahyu yang pada
Alam Hijab itu. Nur Arasy menghalang makhluk alam bawah daripada
menghampirinya. Sebagaimana Jibrail tidak dapat menghampiri Nur Arasy
begitu jugalah Jibrail tidak mampu bertahan menerima nur wahyu yang pada
Alam Hijab. Allah s.w.t membaluti nur wahyu itu dengan rahmat-Nya dan
ia dibawa turun kepada Jibrail yang menanti di luar Alam Hijab. Rahmat
Allah s.w.t menyelamatkan Jibrail daripada hancur apabila menanggung nur
wahyu. Rahmat Allah s.w.t sentiasa menemani nur wahyu itu melalui
setiap peringkat alam sehingga ia sampai kepada nabi yang ditakdirkan
menerima wahyu tersebut. Tidak diketahui bagaimanakah hakikat nur wahyu
yang sebenarnya, tetapi rahmat Allah s.w.t mempermudahkannya sehingga
wahyu yang sampai kepada nabi itu menjadi boleh diterima, ditanggung,
dibaca dan difahami oleh manusia. Walaupun begitu di dalam bungkusan
rahmat Allah s.w.t itu tetap ada nur wahyu yang asli yang mampu
meleburkan Jibrail. Apabila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan
Kalam-Nya Yang Hakiki, disingkap-Nya sedikit tabir yang menutupi nur
wahyu itu. Tatkala itu hati yang berhadapan dengannya menjadi hancur,
fana. Setelah sedar semula hamba itu mendapat makrifat tentang Kalam
Tuhan. Bagaimana mungkin kewujudan alam ini bertahan menanggung hal-hal
ketuhanan yang menguasainya? Semuanya adalah kerana rahmat Allah s.w.t.
Wajibul Wujud: Wujud Yang Wajib iaitu Wujud Tuhan.
wali:
Hamba yang kembali kepada taraf amr Tuhan dan diletakkan-Nya di bawah
payung pemeliharaan serta penjagaan-Nya. Seseorang wali melakukan
sesuatu perkara bukan dengan kehendak dirinya sendiri tetapi dengan
kehendak dan izin Allah s.w.t. Walaupun demikian seseorang wali masih
juga mungkin melakukan kesalahan-kesalahan tetapi pemeliharaan Allah
s.w.t cepat menariknya kembali kepada jalan yang benar.
wali kecil:
Tahap seseorang hamba dipelihara, dijaga dan ditadbir secara sepenuhnya
oleh Allah s.w.t, seumpama seorang bayi di tangan ibunya. Semua perkara
dilakukan oleh si ibu, bayi hanya menanti. Si bayi tidak mampu
menguruskan dirinya sendiri. Begitulah keadaan wali kecil yang diuruskan
sepenuhnya oleh Allah s.w.t. Apabila dia meningkat lagi Allah s.w.t
kembalikan bakat-bakat dan keupayaan mengurus kepada dirinya sehingga
dia menjadi khalifah yang mampu menguruskan kehidupan di dalam dunia
ini.
Wali Qutub: Wali peringkat tinggi.
warak: Sifat orang yang beriman, iaitu cermat di dalam segala
pekerjaan. Orang yang beriman menjaga batas hukum. Perkara yang halal
adalah jelas dan perkara yang haram juga jelas. Di antara yang halal
dengan yang haram itu ada daerah yang samar-samar, yang dikatakan
mungkin halal dan mungkin haram. Orang beriman yang warak meninggalkan
perkara yang samar-samar dan meragukan itu. Semakin jauh daerah yang
meragukan itu ditinggalkan semakin selamatlah iman seseorang.
warid:
Kurniaan Allah s.w.t kepada hati iaitu sinaran Nur-Nya yang dengan itu
hati merasai atau mengalami sesuatu hal mengenai ketuhanan.
waridah: Warid.
wirid: Amal ibadat seperti sembahyang, puasa dan zikir yang dilakukan secara teratur dan berterusan mengikut satu pola tertentu.
wisal:
Penyerapan yang berkekalan terhadap sesuatu hal ketuhanan. Hal tersebut
menguasai hati secara terus menerus dan terbentuklah sesuatu
keperibadian dan sifat khusus pada orang berkenaan yang dipakainya
sehingga ke akhir hayatnya.
Wujud Hakiki: Wujud Tuhan, iaitu Wujud mutlak.
Wujud Mutlak:
Wujud Tuhan. Wujud Mutlak adalah wujud yang tidak boleh disifatkan.
Istilah wujud itu sendiri tidak menepati maksud Wujud Mutlak. Bila
dikatakan wujud maka ada lawannya iaitu tidak wujud. Tidak ada sekutu
atau lawan bagi Allah s.w.t. Dia melepasi wujud atau tidak wujud. Dia
tidak ada perkaitan dengan Wajibul Wujud atau mumkinul wujud. Jika
perkataan wujud mahu digunakan maka Wujud-Nya adalah Mutlak, iaitu
melampaui wujud. Sifat yang boleh dikatakan tentang Allah s.w.t adalah
"Laisa kamithlihi syaiun - tidak ada sesuatu sebanding dengan-Nya".
wusul:
Biasanya hamba mengingati Allah s.w.t melalui nama-nama-Nya.. Jika
tidak ada sebutan nama-Nya atau tidak ada ingatan hati kepada nama-Nya,
maka hati berpaling atau terlepas daripada mengingati-Nya. Dalam
perjalanan makrifat ada tahap di mana ingatan kepada Allah s.w.t bukan
lagi melalui nama. Ia adalah dalam keadaan hati ‘memandang' kepada-Nya
tanpa mengingati nama-Nya. Hamba menyaksikan bahawa nama tidak mempunyai
kekuatan apa-apa, malah nama itu juga bergantung kepada-Nya. Hamba yang
sampai kepada makrifat tahap ini merasakan kehadiran Allah s.w.t tanpa
dihijab oleh sebarang nama. Ingatannya kepada Allah s.w.t adalah rasa
jelira, mesra dan lazat berhadapan dengan-Nya. Suasana yang demikian
dinamakan wusul atau sampai, iaitu sampai kepada-Nya. Suasana tersebut
adalah pengalaman kerohanian bukan sampai secara nyata.
wisal:
Penyerapan yang berkekalan terhadap sesuatu hal ketuhanan. Hal tersebut
menguasai hati secara terus menerus dan terbentuklah sesuatu
keperibadian dan sifat khusus pada orang berkenaan yang dipakainya
sehingga ke akhir hayatnya.
zauk: Pengalaman rasa yang dialami oleh hati yang berhubung dengan Tuhan. Melalui pengalaman tersebut hati mengenali Tuhan.
zauk hakikat:
Pengalaman rasa mengenai sesuatu perkara atau suasana pada sisi Allah
s.w.t yang menjadi sumber kepada kewujudan sesuatu perkara dan suasana
tersebut.
zikir: Hubungan fikiran dan perasaan
dengan Allah s.w.t. Zikir meliputi ucapan, perbuatan dan perasaan.
Ucapan nama-nama dan sifat-sifat Allah s.w.t adalah zikir. Melakukan
sesuatu amalan kerana mentaati perintah Allah s.w.t adalah zikir.
Merenung dan memikirkan tentang kebesaran dan kebijaksanaan Allah s.w.t
yang ternyata pada kerapian ciptaan alam maya ini adalah juga zikir.
Merasai keagungan dan keindahan Allah s.w.t adalah juga zikir. Apa juga
yang beserta ‘kerana Allah Ta'ala' adalah zikir.
zikir daim:
Zikir yang berkekalan. Apabila suasana ‘kerana Allah Ta'ala' tidak
putus, seseorang hamba itu sentiasa berada di dalam zikir, samada zikir
ucapan atau zikir perbuatan atau zikir perasaan ataupun gabungan
kesemuanya. Keadaan ini diperolehi setelah mencapai tahap penyaksian
hakiki mata hati, iaitu mata hati menyaksikan Allah s.w.t pada setiap
masa, semua keadaan dan segala kejadian. Allah s.w.t disaksikan pada dua
perkara yang berlawanan dengan sekali pandang. Kerenah makhluk dan
simpang siur perjalanan sistem sebab musabab tidak menyambar pandangan
mata hati daripada menyaksikan sesuatu tentang Tuhan yang Hadrat-Nya
meliputi segala sesuatu.
zindik: Kumpulan yang
tidak mempercayai agama tetapi berpura-pura menganut fahaman keagamaan.
Kumpulan ini muncul di Makkah, seperti kumpulan munafik muncul di
Madinah. Puak munafik berpura-pura menyertai Islam kerana pada ketika
itu agama Islam mempunyai kekuatan di Madinah. Puak zindik berpura-pura
menganut fahaman agama berhala kerana pada ketika itu agama berhala
mendapat tempat di kalangan orang Makkah.
zuhud: Suasana hati yang tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh dunia, walaupun kemewahan dan kesenangan keduniaan dimilikinya.
|
0 komentar:
Posting Komentar