TAUBAT DAN PENGAJARAN MELALUI PERKATAAN
------------------------------
Tahap-tahap dan peringkat-peringkat perubahan kerohanian telah pun disebut. Perlu ditegaskan bahawa setiap peringkat dicapai terutamanya dengan taubat. Bolehlah dipelajari cara bertaubat dengan orang yang mengetahui cara berbuat demikian dan yang telah sendirinya bertaubat. Taubat yang sebenar dan menyeluruh merupakan langkah pertama di dalam perjalanan.
“(Ingatlah) tatkala orang-orang kafir itu adakan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliah. Lalu Allah turunkan ketenteraman atas rasul-Nya dan atas mukmin. Dan Dia wajibkan mereka (ucapkan) perkataan menjaga keselamatan (taubat) kerana mereka lebih berhak dengan itu, dan memang (mereka) ahlinya, dan adalah Allah mengetahui tiap sesuatu”.
(Surah Fath, ayat 26).
Keadaan takutkan Allah mempunyai maksud yang sama dengan kalimah “ La ilaha illa Llah” – tiada Tuhan, tiada apa-apa, kecuali Allah. Bagi orang yang mengetahui ini akan ada perasaan takut kehilangan-Nya, kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya, keampunan-Nya; dia takut dan malu melakukan kesalahan sedangkan Dia melihat, dan takutkan azab-Nya. Jika seseorang itu tidak berkeadaan demikian dia perlu mendapatkaan orang yang takutkan Allah dan menerima keadaan takutkan Allah itu daripada orang berkenaan.
Sumber dari mana perkataan itu diterima mestilah bersih dan suci daripada segala-galanya kecuali Allah, dan sesiapa yang menerimanya mestilah ada kebolehan untuk membezakan antara perkataan orang yang suci hatinya dengan perkataan orang awam. Penerimanya mestilah sedar cara perkataan itu diucapkan, kerana perkataan yang bunyinya sama mungkin mempunyai maksud yang jauh berbeza. Tidak mungkin perkataan yang datangnya daripada sumber yang asli sama dengan perkataan yang datangnya daripada sumber lain.
Hatinya menjadi hidup bila dia menerima benih tauhid daripada hati yang hidup kerana benih yang demikian sangat subur, itulah benih kehidupan. Tidak ada yang tumbuh daripada benih yang kering lagi tiada kehidupan. Kalimah suci “La ilaha illa Llah” disebut dua kali di dalam Quran menjadi bukti.
“(Kerana) apabila dikata kepada mereka “Tiada Tuhan melainkan Allah” mereka menyombong. Dan mereka berkata, ‘Apakah kami mesti tinggalkan tuhan-tuhan kami buat (mengikut) seorang ahli syair dan gila?”
(Surah Shaaffaat. Ayat 35 & 36).
Ini adalah keadaan orang awam yang baginya rupa luar termasuk kewujudan zahirnya adalah tuhan-tuhan. “Oleh itu Ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan mintalah perlindungan bagi buah amal kamu, dan bagi mukmin dan mukminat, dan Allah mengetahui tempat usaha kamu (di siang hari) dan tempat kembali kamu (pada malam hari)”.
(Surah Muhammad, ayat 19).
Firman Allah ini menjadi panduan kepada orang-orang beriman yang tulen yang takutkan Allah.
----------
Kitab Sirrul Asrar ( Syekh Abdul Qadir Al-Jalani )
0 komentar:
Posting Komentar