Selasa, 04 Maret 2014

Bab 25 : Zakat Fitrah

Bab 25 : Zakat Fitrah

Zakat Fitrah

Zakat ini di fardhukan pada tahun ke 2 hijrah iaitu tahun di fardhukan puasa. Di fardhukan ke atas setiap individu muslim lelaki atau perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Firman Allah Ta’ala :

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh).                                                                                     (Surah Al-A’la Ayat 14)

 

Zakat fitrah atau nama lainnya “zakat an-nafs” iaitu zakat badan maksudnya zakat untuk menyucikan jiwa dengan mengeluarkan makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan dengan kadar satu gantang Baghdad bersamaan 2.70kg beras atau senilai dengannya diberi kepada golongan tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Syarat Wajib Zakat Fitrah

 a) Mempunyai lebihan makanan atau hartanya untuk diri & keluarga pada malam dan siang hariraya.

b) Hidup pada akhir Ramadhan & awal Syawal

c) Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan dan hidup hingga selepasnya.

d) Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan

e) Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Waktu Afdhal/Sunat      :  Sebelum Sembahyang Sunat Hari Raya

Waktu Wajib                 :  Selepas terbenam matahari malam Aidilfitri sehingga terbit matahari esoknya               

Waktu Harus                 :  Sejak Awal Ramadhan

Waktu Makruh : Selepas Sembahyang Sunat Hari raya sehingga terbenam  matahari 1 Syawal

Waktu Haram            :  Selepas terbenam matahari 1 Syawal

Orang Yang Berhak Menerima Zakat Fitrah

Firman Allah Ta’ala :

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ

وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang – orang fakir dan orang-orang miskin dan a’mil-a’mil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah dan (ingatlah) Allah amat mengetahui lagi amat bijaksana.(Surah At-Taubah Ayat 60)

Ada Lapan Asnaf :

1)  Orang Fakir  :
           
         Ialah orang yang tidak ada harta benda untuk keperluan hidupnya sehari-hari, tidak sanggup bekerja, tak mampu berusaha dan malu untuk meminta-minta.

2)  Orang Miskin :

Ialah orang yang boleh bekerja dan berusaha tetapi tidak mencukupi keperluan hidupnya sehari-hari.

3)  ‘Amil (pemungut zakat) :

Orang yang dilantik atau diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk memungut zakat.

4)  Muallaf  :

            Orang yang baru memeluk Agama Islam.

5)  Hamba  :

            Terbahagi kepada tiga :

            1)  Hamba Qin (hamba semata)

2) Hamba Mudabbar (hamba yang kemerdekaannya bergantung kepada mati tuannya).

3)  Hamba Mukattab (kemerdekaan dirinya bergantung kepada syarat-syarat yang diberikan oleh tuannya).

Sebagaimana keterangan Imam Syafie, hamba mukattablah yang layak menerima zakat.
 
6)  Orang Yang Berhutang Banyak :

Iaitu tanggungan hutang untuk kemaslahatan diri dan keluarganya ataupun kemaslahatan umat Islam bila hutangnya itu telah melebihi dari harta kekayaannya.         

7)  Sabilillah :

Orang yang berjuang di jalan Allah
           
8)  Ibnu Sabil

Orang yang dalam perjalanan jauh untuk menyempurnakan tuntutan Agama Islam kemudian kehabisan belanja atau biayanya.

Rujukan Kitab :

1) Kitab Tuntunan Ibadah
2) Kitab Fiqh Mazhab Syafie
3) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman
4) Fiqh & Perundangan Islam
5) Jami’ul Fiqh Juzu’ 3
6) Fiqh  A’la Mazahib Arba’ah Juzu’ Awal.

0 komentar:

Posting Komentar