Bab
26: Penyembelihan : Pengertian Penyembelihan
Penyembelihan dari segi bahasa bererti potong atau belah
bagi menghilangkan nyawa binatang.
Dari segi syara‘ bermaksud menghilangkan nyawa binatang
yang halal dimakan dengan menggunakan alat yang tajam selain
dari kuku, gigi, dan tulang untuk membolehkan haiwan itu halal
dimakan oleh orang Islam.
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam :
Maksudnya:
“Sembelihan adalah di antara pangkal dagu dan pangkal
leher”
(Riwayat Ibnu ‘Abbas)
HUKUM PENYEMBELIHAN
Hukumnya wajib dilakukan ke atas sesuatu haiwan itu untuk
membolehkan ia halal dimakan.
Haiwan yang tidak disembelih
mengikut hukum Islam diistilahkan sebagai bangkai dan najis.
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang
yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir),
dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang
yang disembelih kerana yang lain daripada Allah, dan yang mati
tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat
yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan
binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis
nyawanya)”
(Surah Al-Ma’idah 5:3)
DALIL PENSYARI‘ATAN
PENYEMBELIHAN
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang
halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika
betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.”
(Surah Al-An‘am, 6:118)
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang
bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk
berbuat baik terhadap sesuatu. Oleh kerana itu, jika kamu membunuh,
perbaikkanlah cara membunuhnya, apabila kamu menyembelih maka
perelokkanlah cara penyembelihannya serta tajamkanlah pisaunya
dan mudahkanlah penyembelihannya itu.”
(Riwayat Muslim)
RUKUN PENYEMBELIHAN
Penyembelih:
a) Islam sama ada lelaki atau perempuan atau
kanak-kanak yang mumayyiz.
b) Ahli
kitab, samada Yahudi atau Nasrani.
c) Berakal
dan berfikiran waras.
d) Tidak melakukan penyembelihan di dalam ihram haji (bagi binatang
buruan).
Binatang Yang Disembelih:
Binatang yang halal itu segala jenis binatang yang baik dan
tidak mendatangkan mudharat kepada orang yang memakannya seperti
ayam, itik, lembu dan sebagainya. Binatang yang tidak halal dimakan
dibahagikan kepada dua kumpulan:
a) Haiwan
darat. Semua haiwan darat dihalalkan untuk orang Islam, kecuali
seperti berikut:
Babi dan keturunannya.
Anjing.
Haiwan halal yang tidak disembelih mengikut hukum
syara‘
Haiwan yang bertaring dan menggunakannya untuk
mencakar dan membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau,
beruang, gajah dan seumpamanya
Burung yang mempunyai kuku pencakar
atau memakan secara menyambar seperti burung helang, gagak,
dan sebagainya.
Haiwan-haiwan yang diperintah oleh Islam membunuhnya,
iaitu seperti tikus, lipan, lipas, kala jengking, dan seumpamanya
Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya, iaitu seperti
semut dan lebah.
Haiwan-haiwan yang dipandang jijik oleh umum, seperti
kutu, lalat, ulat, dan seumpamanya.
Haiwan yang hidup dua alam,
iaitu di air dan di darat seperti katak, buaya, kura-kura,
dan sebagainya.
b) Haiwan
Laut. Pada hakikatnya, semua haiwan laut hanya hidup dalam air
sahaja dan adalah halal bagi orang Islam, kecuali:
Semua jenis haiwan laut yang mengandungi racun.
Semua jenis haiwan laut yang boleh memabukkan jika dimakan;
dan semua jenis haiwan laut yang boleh mendatangkan kemudharatan
atau bahaya kepada kesihatan manusia.
Alat Penyembelihan:
Alat penyembelihan yang hendak digunakan mestilah tajam,
boleh melukakan, dan mengalirkan darah binatang tersebut.
Contohnya seperti pisau, parang, dan sebagainya.
Alat tersebut mestilah tidak boleh diperbuat daripadaa
gigi, tulang, atau kuku.
Bahagian Yang Disembelih:
Sembelihan yang sah hendaklah memutuskan halqum (saluran
pernafasan) dan mari’ (saluran makanan dan
minuman) dan memutuskan vena jagular dan arteri karotid.
Hukum memutuskan halkum dan mari’ adalah wajib manakala
memutuskan vena jagular dan arteri karotid adalah sunat.
Bagi haiwan yang tidak dapat disembelih pada leher kerana
sesuatu sebab seperti haiwan buruan, maka adalah dibolehkan
penyembelihan pada mana-mana bahagian anggotanya. Ini adalah
untuk mematikannya dengan syarat niat menyembelih.
SYARAT SAH PENYEMBELIHAN
Syarat sah penyembelihan adalah seperti berikut:
Penyembelihan dilakukan oleh orang Islam atau ahli kitab.
Dilakukan dengan niat menyembelih kerana Allah.
Binatang itu masih hidup ketika disembelih.
Binatang itu adalah halal dimakan.
Menggunakan alat yang tajam selain dari kuku, gigi dan tulang.
Putus halqum dan urat mari’ dengan
sebab penyembelihan.
Mati dengan sekali sembelihan sahaja.
Tidak dilakukan penyembelihan kerana selain dari Allah.
Tidak dilakukan dalam ihram (binatang buruan darat).
Tambahan: Sejajar dengan perkembangan
semasa penyembelihan bagi tujuan komersil mesti dilakukan oleh
orang yang mendapat sijil tauliah penyembelihan dari Jabatan
Agama Islam Negeri.
PERKARA SUNAT SEMASA PENYEMBELIHAN
Membaca basmalah.
Menghadap binatang tersebut ke arah qiblat.
Membaca salawat ke atas Nabi.
Memutuskan dua urat dari kiri dan kanan supaya cepat mati.
Menggunakan pisau yang tajam.
Binatang itu dibaringkan di atas rusuk kiri.
Melakukan penyembelihan
dengan segera.
PERKARA MAKRUH SEMASA PENYEMBELIHAN
Mengasah pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih.
Menyembelih hingga terputus kepala.
Penyembelihan dilakukan oleh orang perempuan.
HIKMAH PENYEMBELIHAN
Penyembelihan diwajibkan ke atas setiap haiwan yang halal
dimakan oleh orang Islam untuk memastikan sumber yang dimakan
dapat memberikan kesan positif pada diri seseorang muslim
itu dari segi mental, fizikal, sikap, atau perwatakan, dan
sebagainya.
Sesuatu yang bersumberkan yang haram, buruk dan najis lazimnya
akan menghasilkan sesuatu keburukan yang lain pula. Selain
itu, penyembelihan juga dapat memberikan banyak kebaikan
dan hikmat. Antaranya adalah seperti berikut:
Untuk menunjukkan perbezaan yang nyata antara cara orang
Islam dan cara orang kafir dalam soal mematikan haiwan.
Untuk menunjukkan perbezaan daging yang halal dimakan dan
yang haram dimakan oleh orang Islam.
Untuk memastikan haiwan tersebut tidak mengalami kesakitan
yang terseksa ketika disembelih kecuali dalam masa yang singkat.
Agar darah dari dalam haiwan berkenaan dapat mengalir dengan
cepat. Ini seterusnya dapat mengelakkan daripada jangkitan
kuman yang mungkin ada dalam darah haiwan tersebut.
Sebagai meminta
keizinan dari Allah subhanahu wata‘ala kerana
haiwan dan manusia adalah makhluk Allah subhanahu wata‘ala yang
bernyawa.
0 komentar:
Posting Komentar