Bab
3 : Tujuan Hukuman Hudud, Qisas, Diyat dan Ta'zir
Hukuman hudud, qisas, diyat dan ta`zir diperuntukkan
dalam qanun jinayah syar`iyyah adalah bertujuan untuk menjaga
prinsip perundangan Islam yang tertakluk di bawahnya lima perkara:
1.
Menjaga agama, iaitu menjaga aqidah orang-orang Islam supaya tidak
terpesong dari aqidah yang sebenar dan tidak menjadi murtad. Orang
yang murtad akan disuruh bertaubat terlebih dahulu dan sekiranya
dia enggan bertaubat maka hukuman bunuh akan dikenakan ke atas
mereka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka bunuhlah dia."
(Riwayat Bukhari)
2.
Menjaga nyawa, iaitu menjaga jiwa seseorang dari dibunuh termasuklah
menjaga anggota tubuh badan seseorang dari dicederakan atu dirosakkan.
Sesiapa yang membunuh manusia atau mencederakan anggota tubuh
badan mereka itu dengan sengaja wajib dijatuhkan hukuman qisas
atau diyat sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan di dalam hukum qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu,
wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu bertaqwa."
(Surah Al-Baqarah, 2:179)
3.
Menjaga akal fikiran, iaitu memelihara akal fikiran manusia dari
kerosakan disebabkan minum arak atau minuman-minuman yang memabukkan.
Mereka yang meminum arak wajib dijatuhkan hukuman sebat tidak
lebih dari lapan puluh kali sebat sebagaimana yang telah diriwayatkan
oleh Saiyidina Ali di dalam sebuah hadith yang bermaksud:
"Rasulullah
s.a.w. telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat puluh
kali sebat, dan Saiyidina Abu Bakar telah menyebat empat puluh
kali sebat juga, dan Saiyidina Umar menyebat sebanyak lapan puluh
kali .
4.
Menjaga keturunan, iaitu memelihara manusia dari melakukan perzinaan
supaya nasab keturunan, perwalian dan pewarisan anak-anak yang
lahir hasil dari persetubuhan haram itu tidak rosak. Orang yang
melakukan perzinaan wajib dijatuhkan hukum sebat dan rejam sebagaimana
sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada
`Ubadah bin As-Somit r.a. yang bermaksud:
"Ambillah peraturan daripada aku, ambillah peraturan daripada
aku. Sesungguhnya Allah telah memberi jalan untuk mereka. Perawan
dengan jejaka yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus
kali sebat, dan dibuang negeri selama setahun. Dan janda dengan
janda yang berzina hukumannya disebat sebanyak seratus kali sebat
dan direjam." (Riwayat Muslim dan Abu Daud)
5.
Menjaga harta benda, iaitu memelihara harta benda manusia dari
dicuri dan dirompak dengan menjatuhkan hukuman potong tangan ke
atas pencuri, dan menjatuhkan hukuman mati atau potong tangan
dan kaki kedua-duanya sekali atau dibuang negeri ke atas perompak.
Hukuman ini tertakluk kepada cara rompakan itu dilakukan sebagaimana
firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan
orang lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka (hukumannya)
potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa
yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah
dari Allah. Dan (ingatlah) Allah maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al-Ma'idah: 38)
Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud:
"Sesungguhnya
balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan
bencana kerosakan di muka bumi (melakukan keganasan merampas dan
membunuh orang di jalan ) ialah dengan balasan bunuh (kalau mereka
membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka
membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan
berselang (kalau mereka merampas sahaja, atau dibuang negeri (kalau
mereka hanya mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian
itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat
kelak mereka beroleh azab siksa yang amat besar." (Surah Al-Ma'idah:
33)
0 komentar:
Posting Komentar