Bab 22 : Pembahagian Solat
- Solat Nafilah
SOLAT
NAFILAH
Nafilah bermaksud
tambahan dan dalam konteks sembahyang ialah sembahyang tambahan
daripada apa yang difardhukan oleh Allah subhanahu wata‘ala.
Sembahyang
sunat terbahagi kepada dua bentuk iaitu:
1. Sembahyang
yang tidak sunat dilakukan secara berjama‘ah.
2. Sembahyang
yang sunat dilakukan secara berjama‘ah.
Sembahyang Yang Tidak Disunatkan Berjama‘ah
Sembahyang
yang tidak disunatkan secara berjama‘ah juga terbahagi kepada
dua bahagian iaitu sembahyang sunat yang mengiringi fardhu dan
yang tidak mengiringi fardhu.
1. Sembahyang
sunat yang mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi dua:
a) Sembahyang
yang merupakan sunnah mu’akkadah, yang terdiri daripada:
i. Dua raka‘at
sebelum sembahyang Subuh.
ii. Dua
raka‘at sebelum dan selepas sembahyang Zuhur.
iii. Dua
raka‘at selepas sembahyang Maghrib.
iv. Dua
raka‘at selepas sembahyang ‘Isya’.
b) Sembahyang
yang bukan sunnah mu’akkadah pula terdiri daripada:
i. Dua raka‘at
sebelum sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua raka‘at
yang mu’akkadah.
ii. Dua
raka‘at selepas sembahyang Zuhur, tambahan kepada dua
raka‘at yang mu’akkadah.
iii. Empat
raka‘at sebelum sembahyang ‘Asar.
iv. Dua
raka‘at yang ringan sebelum sembahyang Maghrib. Maksud
“ringan” ialah melakukan rukun-rukun sembahyang,
sunat-sunat dan adab-adabnya seminimum yang mungkin.
v. Dua raka‘at
yang ringan sebelum sembahyang ‘Isya’.
2. Sembahyang
sunat yang tidak mengiringi sembahyang fardhu. Ia terbahagi kepada
dua bahagian iaitu:
a) Sembahyang
sunat yang tiada nama dan waktu tertentu yang lebih dikenali sebagai
sembahyang sunat mutlaq, dilakukan pada mana-mana waktu kecuali
pada waktu tertentu yang dilarang melakukannya. Ia dilakukan dengan
diberi salam pada setiap dua raka‘at.
b) Sembahyang
sunat yang ada nama dan waktu tertentu, antaranya:
i. Sembahyang
sunat tahiyyatul masjid, iaitu sembahyang dua raka‘at
sebelum duduk setiap kali masuk masjid. Tahiyyatul masjid terhasil
dengan sembahyang fardhu atau dengan mana-mana sembahyang sunat
yang lain kerana maksud daripadanya ialah seseorang itu tidak
segera duduk dalam masjid tanpa menunaikan sembahyang.
ii. Sembahyang
sunat witir. Ia merupakan sunnah mu’akkadah. Dinamakan
witir atau ganjil kerana ia disudahi dengan satu raka‘at
berlainan dengan sembahyang yang lain. Waktu sembahyang witir
ialah di antara sembahyang ‘Isya’ dan terbit fajar.
Yang paling afdhal ialah dilewatkan sehingga ke akhir sembahyang
malam. Sekurang-kurang witir ialah satu raka‘at, tetapi
makruh jika hanya melakukan dengan bilangan tersebut dan sekurang-kurang
bilangan raka‘at yang sempurna ialah tiga raka‘at.
Didirikan dua raka‘at kemudian satu raka‘at. Jumlah
yang paling sempurna ialah sebelas raka‘at.
iii. Qiyamullail.
Ia dinamakan juga dengan tahajjud jika dilakukan selepas tidur.
Qiyamullail merupakan sunat yang tidak mempunyai bilangan raka‘at
yang tertentu. Ia ditunaikan selepas bangun tidur dan sebelum
azan Subuh.
iv. Sembahyang
sunat dhuha. Sekurang-kurang sembahyang sunat dhuha ialah dua
raka‘at dan yang paling banyak dan sempurna ialah lapan
raka‘at. Ia lebih afdhal jika dipisahkan pada setiap dua
raka‘at dengan salam. Waktunya bermula dari naik matahari
sehingga gelincir dan yang afdhalnya ialah setelah berlalu satu
perempat siang hari.
v. Sembahyang
sunat istikharah, iaitu sembahyang dua raka‘at yang didirikan
bukan pada waktu yang dimakruhkan. Ia disunatkan kepada sesiapa
yang ingin kepada sesuatu atau ingin melakukan sesuatu perkara
yang diharuskan tetapi dia tidak mengetahui kebaikan yang ada
padanya. Disunatkan membaca doa ma’thur yang datang daripada
Rasulullah selepas selesai sembahyang. Jika selepas itu Allah
membuka hatinya untuk melakukan perkara tersebut, maka dia boleh
melakukannya.
SEMBAHYANG
YANG DISUNATKAN SECARA BERJEMAAH
Sembahyang
Dua Hari Raya
Sembahyang
hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya korban merupakan
sunnah mu’akkadah. Ia dituntut supaya dilakukan secara berjama‘ah
tetapi tetap sah jika dilakukan secara bersendirian. Waktunya
bermula dari terbit matahari hingga gelincir matahari. Waktu yang
lebih afdhal ialah ketika matahari naik sekadar panjang lembing
(tinggi segalah).
Sembahyang
hari raya mempunyai dua raka`at. Ia dimulakan dengan takbiratul
ihram kemudian membaca doa iftitah, kemudian bertakbir sebanyak
tujuh kali seperti mana takbiratul ihram. Ketujuh-tujuh takbir
tadi dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana
dan disunatkan membaca tasbih. Kemudian membaca al-isti`azah dan
membaca al-fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa
ayat. Takbir untuk raka‘at yang kedua hanyalah sebanyak
lima kali. Selain daripada itu disunatkan berkhutbah dengan dua
khutbah setelah selesai sembahyang sama seperti khutbah jumaat,
cuma ia dilakukan selepas sembahyang.
Sembahyang
Tarawih
Sembahyang
tarawih disyari‘atkan khusus pada bulan Ramadhan dan sunat
didirikan secara berjama‘ah serta sah jika didirikan secara
individu. Waktunya di antara sembahyang ‘Isya’ dan
sembahyang Subuh dan sebelum sembahyang witir. Ia boleh didirikan
sebanyak lapan raka‘at dan boleh sebanyak dua puluh raka‘at
dengan dilakukan setiap dua raka‘at satu salam.
Sembahyang
Gerhana Matahari dan Bulan
Al-Kusuf
(gerhana matahari) pada bahasa digunakan ketika cahaya matahari
atau bulan terlindung sama ada sebahagiannya atau kesemuanya.
Kebiasaannya, al-kusuf digunakan bagi gerhana bulan. Hukumnya
pula ialah sunnah mu’akkadah. Jika sembahyang gerhana itu
adalah untuk matahari, maka bacaan hendaklah diperlahankan, manakala
jika gerhana bulan, bacaan hendaklah dinyaring dan dikuatkan.
Sembahyang
gerhana mempunyai dua cara:
1. Dilakukan
pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri, dua kali membaca
(Al-Fatihah dan ayat) serta dua kali ruku‘ tanpa memanjangkannya
(berdiri, membaca dan ruku‘, kemudian berdiri membaca dan
ruku‘). Dan sah sembahyang gerhana jika didirikan dua raka‘at
dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku‘ seperti sembahyang
Juma‘at.
2. Dilakukan
pada setiap raka‘at dengan dua kali berdiri. Pada setiap
kali berdiri dibaca bacaan yang panjang. Dibaca selepas Al-Fatihah,
Surah Al- Baqarah atau surah-surah lain yang sama panjangnya pada
berdiri kali pertama di raka‘at pertama. Untuk berdiri kali
kedua pada raka‘at pertama, dibaca ayat yang menyamai 200
ayat. Manakala bacaan ketika berdiri kali pertama pada raka‘at
kedua ialah sekadar 150 ayat. Dan bacaan ketika berdiri kali kedua
pada raka‘at kedua ialah bacaan yang menyamai 100 ayat Surah
Al-Baqarah.
Kemudian apabila
ruku‘, maka dipanjangkannya sehingga menyamai lebih kurang
dengan 100 ayat, ruku‘ kedua dipanjangkan sekadar 80 ayat,
ruku‘ ketiga sekadar 70 ayat dan ruku‘ keempat sekadar
50 ayat. Cara yang kedua ini adalah yang lebih sempurna. Apabila
sembahyang telah selesai, imam bangun berkhutbah dengan dua khutbah,
sama seperti khutbah Juma‘at, cuma imam hendaklah mendorong
orang ramai supaya bertaubat, melakukan kebaikan serta memberi
ingatan agar tidak lalai.
Sembahyang
Istisqa’ (Minta hujan)
Makna sembahyang
istisqa’ ialah sembahyang yang disyari‘atkan ketika
hujan tidak turun dan mata air kekeringan. Ia disunatkan ketika
berlaku sebabnya. Tuntutan melakukannya akan luput apabila sebab
tersebut hilang seperti turunnya hujan atau mata air mula mengalir.
Terdapat
tiga cara untuk meminta hujan :
1. Cara
paling minima, iaitu berdoa kepada Allah pada bila-bila waktu
yang disukai.
2. Cara
pertengahannya ialah dengan berdoa selepas bangun daripada
ruku‘ pada raka‘at terakhir sembahyang yang diwajibkan,
atau selepas selesai sembahyang.
3. Cara
yang paling sempurna ialah dengan melakukan perkara-perkara
berikut:
a) Pada
peringkat permulaan, imam (ketua pemerintah) atau timbalannya
hendaklah menyuruh orang ramai supaya bertaubat, bersedekah
kepada fakir, meninggalkan segala bentuk kezaliman, dan
berpuasa selama empat hari berturut-turut.
b) Imam
yang sebaik-baiknya ketua pemerintah keluar bersama-sama
orang ramai pada hari ke empat dalam keadaan berpuasa, memakai
pakaian yang lama (lusuh), dalam keadaan khusyu‘ dan
hina menuju ke padang yang luas melalui satu jalan tertentu
dan pulangnya melalui jalan yang lain pula. Kemudian ketua
atau timbalannya melakukan sembahyang bersama-sama orang
ramai sebanyak dua raka‘at seperti sembahyang hari
raya.
c) Apabila selesai sembahyang, imam (ketua pemerintah) hendaklah
berkhutbah dengan dua khutbah seperti khutbah hari raya,
kecuali kedua-duanya hendaklah dimulai dengan istighfar
sembilan kali pada khutbah pertama dan tujuh kali pada khutbah
kedua sebagai ganti kepada takbir. Apabila khutbah kedua
bermula dan berlalu satu pertiga daripadanya, khatib hendaklah
berpaling ke arah qiblat dengan membelakangkan orang ramai
dengan mengubah kedudukan kain jubah atau selendang dengan
dijadikan bahagian atas ke bawah, bahagian bawah ke atas,
bahagian kanan ke kiri dan bahagian kiri ke kanan bagi menzahirkan
perasaan kehinaan ke hadapan Allah subhanahu wata‘ala.
Orang ramai juga disunatkan melakukan apa yang dilakukan
oleh khatib.
Sembahyang Jenazah
Syarat-syarat
sah sembahyang jenazah ialah seperti berikut:
1. Sembahyang
jenazah sama halnya dengan sembahyang yang lain, iaitu harus
menutup ‘aurat, suci dari hadath besar dan kecil, suci
badan, pakaian dan tempat serta menghadap ke arah qiblat.
2. Mayat
sudah dimandikan dan dikafankan.
3. Mayat
diletak sebelah qiblat mereka yang menyembahyangkannya kecuali
jika sembahyang dilakukan di atas kubur (sembahyang ghaib).
Cara melakukan
sembahyang jenazah ialah dengan keadaan berdiri sahaja dengan
tidak ruku‘, sujud, tasyahhud dan duduk. Sebelum dilakukannya
juga tidak disertai dengan azan dan iqamah.
Rukun-rukun
dan cara menunaikannya adalah seperti berikut:
1. Bertakbir
dengan takbiratul ihram dalam keadaan berniat sembahyang ke
atas mayat.
2. Selepas
bertakbir, dibaca Surah Al-Fatihah.
3. Bertakbir
untuk kali kedua. Seterusnya membaca salawat dengan mana-mana
lafaz salawat dan yang paling afdhal ialah salawat Ibrahimiyyah.
4. Kemudian
bertakbir untuk kali ketiga dan berdoa untuk si mati selepas
takbir tersebut.
5. Kemudian
bertakbir untuk kali keempat dan berdoa selepasnya.
6. Kemudian
memberi salam ke sebelah kanan dan kiri.
0 komentar:
Posting Komentar