Bab
7: Beriman Kepada Kitab
KITAB-KITAB YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH
Allah S.W.T telah
menurunkan kitab-kitab kepada beberapa orang rasul-Nya yang mengandungi
suruhan dan larangan, halal dan haram, peringatan dan janji serta
ancaman Allah ke atas makhluk-Nya.
Kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada
beberapa orang rasul-Nya mempunyai empat buah kitab iaitu At-Taurat,
Az-Zabur, Injil dan Al-Quran.
1.Kitab Taurat
Diturunkan oleh Allah
kepada Nabi Musa a.s. dalam bahasa Qibti. Kitab ini menerangkan
hukum-hukum syariat dan aqidah serta keimanan yang sebenar dan yang
diredhai Allah S.W.T. Kitab ini juga menjelaskan akan dibangkitkan dan
diutus seorang nabi dan rasul yang terakhir daripada keturunan Nabi
Ismail putera Nabi Ibrahim a.s. yang akan membawa syariat baru dan
menasakhkan syariat-syariat yang terdahulu. Selain itu, kitab ini ada
menyebut mengenai syurga, neraka, ba’ath (bangkit selepas mati), hisab
(perhitungan amal baik dan jahat), mahsyar, mizan dan lain-lainnya yang
berkaitan dengan persoalan hari kiamat.
2.Kitab Injil
Diturunkan oleh Allah
kepada Nabi Isa a.s. dalam bahasa Suryani. Di dalamnya disebutkan
perintah-perintah Allah S.W.T menyuruh umat manusia mentauhidkan-Nya
dan melarang mereka itu menyukutukan-Nya dengan sesuatu benda atau
dengan makhluk-makhluk yang lain. Di dalam kitab ini juga ada didapati
tentang keterangan akan dibangkitkan dan diutus seorang nabi dan rasul
yang dimaksudkannya ialah Nabi Muhammad S.A.W.
3.Kitab Zabur
Diturunkan oleh Allah
kepada Nabi Daud a.s. dalam bahasa ‘Ibrani. Kitab ini hanya memuatkan
fatwa-fatwa dan nasihat-nasihat dan juga peringatan-peringatan yang
mesti dijalankan oleh umatnya. Kitab ini tidak memuatkan syariat Allah
dan hukum-hukum agama kerana Nabi Allah Daud a.s. hanya diperintahkan
oleh Allah S.W.T mengikut syariat yang diberikan kepada Nabi Musa a.s.
yang terdahulu daripadanya.
4.Kitab Al-Quran
Diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W.
dalam bahasa Arab. Al-Quran merupakan kitab terakhir diturunkan oleh
Allah kepada penyudah segala rasul iaitu Nabi Muhammad S.A.W dan
mengesahkan kitab-kitab yang terdahulu turun daripadanya. Al-Quran
mengandungi saranan-saranan supaya manusia mengalihkan pandangan dan
memikirkan kejadian Allah di langit dan bumi untuk mendapat bukti
kewujudan dan kekuasaan Allah serta untuk mengenal segala sifat-sifat
Allah. Selain itu, di dalam Al-Quran Allah telah menceritakan kepada
kita berita-berita umat yang terdahulu serta pengajaran-pengajaran yang
terdapat di dalamnya dan menjelaskan kepada kita tentang ulama-ulama
agama yang terdahulu telah menyelewengkan kitab-kitab yang diturunkan
kepada nabi-nabi mereka. Al-Quran juga mengandungi hukum-hukum umum
yang sesuai di sepanjang zaman dan bagi semua umat yang menjamin
mendatangkan kebahagiaan dunia dan akhirat serta mengajak manusia
kepada akhlak yang mulia seperti sabar, bersifat benar, amanah, adil,
mengajak kepada makruf, melarang mungkar dan sebagainya. Al-Quran juga
ada memberitahu tentang sumber-sumber alam dan rahsia-rahsia kejadian
yang boleh diterokai oleh kajian-kajian ilmiah seperti kegunaan air dan
angin.
0 komentar:
Posting Komentar