Selasa, 04 Maret 2014

Bab 15 : Solat

Bab 15 : Solat

PENGERTIAN SOLAT

  • Solat dari segi bahasa bermaksud doa atau doa dengan sesuatu kebaikan.

  • Dari segi syara‘, solat bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan
    yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan
    syarat-syarat tertentu.

  • Perkataan-perkataan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun qawliyy.
    Manakala perbuatan-perbuatan di dalam sembahyang dikenali sebagai rukun
    fi‘liyy dan perlakuan selain daripada perkataan dan perbuatan dikenali
    sebagai rukun qalbiyy.

WAKTU SEMBAHYANG

  • Waktu sembahyang fardhu lima waktu iaitu Zuhur, ‘Asar, Maghrib, ‘Isya’ dan Subuh telah dinyatakan dengan terperinci dari awal hingga akhir oleh Sunnah Nabi. Secara umumnya, waktu-waktu itu telah dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam melalui sabdanya yang bermaksud:

“Jibril telah mengimami saya sebanyak dua kali. Beliau bersembahyang Zuhur bersamaku ketika tergelincir matahari dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu benda telah sama panjangnya dengan sesuatu itu, dan Maghrib ketika terbenam matahari dan ‘Isya’ ketika terbenam syafaq (iaitu cahaya merah) dan Subuh ketika terbit fajar. Pada keesokan harinya, Jibril bersembahyang bersama saya solat Zuhur ketika bayang-bayang sesuatu berada sepanjangnya dan ‘Asar ketika bayang-bayang sesuatu berkedudukan dua kali panjangnya dan Maghrib ketika orang berbuka puasa dan ‘Isya’ ketika sepertiga malam dan Subuh ketika menguning cahaya pagi. Kemudian Jibril berkata: Inilah waktu sembahyang Nabi-Nabi sebelum engkau. Waktu sembahyang adalah di antara waktu ini.”

  • Secara terperincinya, waktu-waktu bagi setiap solat fardhu adalah seperti berikut:

    1. Waktu Zuhur bermula dengan tergelincir matahari (zawal), iaitu matahari condong daripada tengah-tengah langit ke arah barat dengan keadaan sesuatu benda mempunyai sedikit bayang ketika matahari terpacak dan matahari mula condong ke arah barat. Waktu Zuhur berakhir apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya.

    2. Waktu ‘Asar (solat al-wusta) bermula dengan berakhirnya waktu Zuhur, iaitu apabila bayang sesuatu benda yang sama panjang dengan benda itu mula bertambah dengan pertambahan yang paling minimum. Ia berakhir dengan terbenamnya matahari.
    3. Waktu Maghrib, ia bermula dengan terbenam matahari dan berterusan sehingga hilang cahaya syafaq (cahaya merah) dengan tidak kelihatan sedikitpun kesannya.

    4. Waktu ‘Isya’ bermula dengan tamatnya waktu Maghrib, iaitu hilang syafaq ahmar (cahaya merah) dan berterusan hingga munculnya fajar sadiq, iaitu beberapa ketika sebelum naik fajar.

    5. Waktu Subuh bermula dengan muncul fajar sadiq dan berterusan hinggalah naik matahari (syuruq). Fajar sadiq ialah cahaya putih yang menyerlah mengikut garis lintang ufuk.


WAKTU-WAKTU YANG DITEGAH MELAKUKAN SOLAT

  • Terdapat lima waktu yang telah dinyatakan oleh Sunnah sebagai waktu yang ditegah untuk melakukan sembahyang di dalamnya, iaitu:

    1. Selepas sembahyang Subuh hingga terbit matahari.

    2. Semasa naik matahari hingga kadar ramh, iaitu lebih kurang satu pertiga jam selepas naiknya matahari.

    3. Waktu matahari tegak (rembang) sehingga matahari tergelincir (masuk waktu Zuhur).

    4. Selepas sembahyang ‘Asar hingga terbenam matahari.

    5. Waktu matahari kekuningan sehingga terbenam.

  • Tegahan untuk melakukan sembahyang pada waktu-waktu ini bukanlah mutlaq, tetapi khusus pada jenis sembahyang tertentu sahaja, iaitu:

    1. Semua sembahyang yang tidak ada sebab untuk melakukannya pada waktu-waktu itu seperti sembahyang sunat mutlaq dan sembahyang sunat tasbih.

    2. Sembahyang yang sebab melakukannya terkemudian seperti sunat ihram dan istikharah.

  • Semua sembahyang ini jika dilakukan pada waktu-waktu tersebut hukumnya makruh tahrim yang sangat ditegah dan sembahyang itu juga menjadi batal. Pengecualian kepada sembahyang yang telah disebut ialah beberapa sembahyang tertentu iaitu:

    1. Sembahyang yang mempunyai sebab untuk melakukannya seperti sembahyang yang telah luput (qadha’), jenazah, nazar, sunat wudhu’ dan tahiyyatul masjid.

    2. Sembahyang yang mempunyai sebab yang seiringan dengan waktu itu seperti sembahyang kusuf (gerhana) dan istisqa’ (minta hujan).

    3. Sembahyang Jumaat ketika matahari tegak.

    4. Sembahyang di Tanah Haram Makkah kerana kelebihan sembahyang itu sendiri.

  • Selain daripada waktu-waktu tersebut, terdapat beberapa waktu lain yang ditegah melakukan sembahyang, antaranya sembahyang semasa khatib menaiki minbar masjid untuk membaca khutbah dan sebelum sembahyang Maghrib kecuali sunat rawatib pada kedua-duanya.

0 komentar:

Posting Komentar