Bab 10 : Rujuk
Ruju‘ dari segi bahasa bererti kembali.
Manakala dari segi syara‘ pula ialah mengembalikan isteri
kepada nikah dalam waktu ‘iddah yang bukan talaq ba’in.
Ruju‘
adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada bekas suami untuk
melanjutkan ikatan perkahwinannya dengan bekas isteri yang diceraikannya
sebelum habis waktu ‘iddah isteri.
DALIL
HARUS RUJU‘
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Dan suami-suami, mereka lebih berhak untuk mengambil kembali
(ruju‘) akan isteri-isteri di dalam masa ‘iddah itu
jika mereka bertujuan mahu membuat perdamaian.”
(Surah Al-Baqarah, 2:228)
·Allah
subhanahu wata‘ala juga berfirman:
Maksudnya:
“Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddah,
ruju‘lah mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik) atau
ceraikan mereka dengan cara yang ma‘ruf (baik).”
(Surah At-Talaq, 65:2)
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda kepada
‘Umar ketika dikhabarkan bahawa anaknya (‘Abdullah)
telah menceraikan isterinya ketika haidh maka Rasulullah sallallahu
‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Suruh
anakmu supaya dia rujuk kepada isterinya.”
(Maksud Al-Hadith)
RUKUN RUJU‘
Ruju‘ mempunyai tiga rukun iaitu:
1.
Sighah iaitu lafaz yang menunjukkan kembali kepada isteri sama
ada secara sarih (terang) mahupun kinayah (kiasan).
2.
Murtaji‘ iaitu suami yang mempunyai syarat-syarat tertentu.
3.
Isteri iaitu perempuan yang telah dinikahi dengan nikah yang sah.
SYARAT-SYARAT
RUJU‘
1.
Suami:
a)
Hendaklah seorang yang berakal.
b)
Baligh.
c)
Dengan kehendak dan kerelaan sendiri bukan paksaan daripada
sesiapa.
d)
Tidak murtad.
2.
Isteri:
a)
Hendaklah yang sudah dicampuri.
b)
Mestilah yang diceraikan dengan talaq raj‘iyy. Bukan dengan
perceraian secara fasakh, khul‘ dan juga talaq tiga.
c)
Hendaklah ditentukan orangnya jika suami berkahwin lebih daripada
satu dan telah menceraikan beberapa orang isterinya.
3.
Hendaklah tidak dihadkan kepada sesuatu masa dan waktu. Tidak
sah ruju‘ dalam masa yang tertentu sahaja.
4.
Tidak bergantung kepada sesuatu syarat. Ruju‘ disyari‘atkan
adalah bertujuan untuk membolehkan suami isteri yang telah bercerai
dengan talaq raj‘iyy meneruskan kembali ikatan perkahwinan
mereka yang telah terputus dengan syarat isteri masih lagi dalam
‘iddah. Tetapi perlu diingat bahawa ruju‘ hendaklah
dengan tujuan untuk berdamai bukan kerana ingin menyakiti, menganiaya
isteri dan sebagainya.
PROSEDUR RUJU‘
1.
Jika selepas perceraian yang boleh diruju‘kan (dalam ‘iddah
raj‘iyy) dan ruju‘ telah berlaku dengan persetujuan
bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal peruju‘kan
tersebut kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah
berkenaan dalam tempoh tujuh (7) hari daripada tarikh peruju‘kan
berlaku serta menerangkan butir-butir yang berkaitan dengannya
dalam borang yang ditetapkan.
2.
Bagi pihak-pihak yang ingin memohon ruju‘ atas persetujuan
bersama semasa di dalam ‘iddah raj‘iyy, pemohon hendaklah
hadir di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah
bersama isteri dan dua orang saksi lelaki.
3.
Setiap ruju‘ yang hendak dibuat di hadapan Pendaftar Nikah,
Cerai dan Ruju‘ Daerah hendaklah memastikan pemohon mengemukakan
sijil cerai asal atau keputusan bercerai daripada Mahkamah Syari‘ah
berkaitan sebelum ruju‘ dijalankan.
4. Apabila Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah berpuashati
bahawa ruju‘ tersebut berlaku secara sah dari segi hukum
syara‘, baharulah pendaftaran atau permohonan ruju‘
diterima setelah pemohon menyertakan bersama-sama borang permohonan,
salinan resit pendaftaran kes perceraiannya di Mahkamah atau Sijil
Cerai yang asal.
5.
Pendaftaran atau permohonan ruju‘ hendaklah dilakukan di
hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah.
6.
Setiap ruju‘ yang telah didaftarkan, Sijil Cerai asal tersebut
akan diambil oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah
berkaitan dan dihantar kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘
Daerah yang mengeluarkan untuk dibatalkan dan direkodkan di dalam
Buku Daftar Cerai Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah
berkaitan.
7.
Pemohon yang telah didaftarkan ruju‘ mereka akan diserahkan
kepada mereka Surat Keterangan Ruju‘ (Borang 2D) dan direkodkan
di dalam Buku Daftar Serahan Keterangan Ruju‘.
8.
Butir-butir peruju‘kan tersebut hendaklah dicatitkan dan
disimpan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju‘ Daerah dalam
Buku Daftar Ruju‘ (Borang 2E).
0 komentar:
Posting Komentar