Bab 9 : Pembubaran Perkahwinan : Li'an
PENGERTIAN
LI‘AN
Li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf iaitu suami menuduh
isterinya berlaku zina atau menafikan anak yang dikandungkan oleh
isterinya sebagai anak.
Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya
berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja,
maka hendaklah dia bersumpah empat kali “bahawa dia adalah
orang yang benar” dan pada kali kelimanya “bahawa
dia akan dilaknati Allah jika dia berdusta”.
Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia
bersumpah sebanyak empat kali “bahawa suaminya itu berdusta”
dan pada kali kelimanya “bahawa dia akan dilaknati Allah
jika suaminya benar”.
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
“Adapun
orang yang menuduh isterinya berzina sedangkan mereka tidak ada
saksi (empat orang) kecuali hanya dirinya sahaja maka persaksian
bagi orang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama
Allah sebanyak empat kali bahawa sesungguhnya dia adalah orang
yang benar. Dan sumpahan yang kelima bahawa laknat Allah akan
menimpanya jika dia berdusta. Dan untuk menghindarkan seksa terhadap
isteri yang tertuduh itu hendaklah si isteri bersumpah dengan
nama Allah sebanyak empat kali bahawa sumpahan yang kelima hendaklah
dia berkata kemungkaran Allah akan menimpa dirinya.”
(Surah An-Nur, 24:6-9)
KESAN LI‘AN
·Berdasarkan
Seksyen 51 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka)
2002 menegaskan bahawa:
“Jika
pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan telah mengangkat sumpah
dengan cara li‘an mengikut hukum syara‘ di hadapan
seorang hakim syar‘i, atas penghakiman, maka hakim syar‘i
itu hendaklah memerintahkan mereka difaraqkan dan dipisahkan dan
hidup berasingan selama-lamanya.”
Mengikut
peruntukan hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami)
enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan
sebatan sebanyak 80 kali rotan. Manakala jika isteri yang dituduh
pula tidak menolak tuduhan suaminya, maka dia akan dikenakan hukuman
sebagaimana orang yang berzina kecuali kedua-dua mereka bersumpah
dan melakukan li‘an.
Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka
ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali
dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya.
Ibnu
‘Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang
bermaksud:
“Suami
isteri yang melakukan li‘an apabila mereka berdua berpisah,
kedua-dua mereka tidak boleh berkumpul (berkahwin) untuk selama-lamanya.
(Riwayat Daruqutni)
0 komentar:
Posting Komentar