Bab
2 : Bentuk Hukuman Yang Dikenakan Ke Atas Penjenayah
Mengikut peruntukan
hukum syara` yang disebutkan di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith
dan yang dikuatkuasakan dalam undang-undang jinayah syar`iyyah,
penjenayah-penjenayah yang didakwa di bawah kes jinayah syar`iyyah
apabila sabit kesalahannya di dalam mahkamah wajib dikenakan hukuman
hudud, qisas, diyat atau ta`zir.
Hukuman-hukuman
ini adalah tertakluk kepada kesalahan-kesalahan yang dilakukan
oleh penjenayah-penjenayah tersebut.
1.
Hukuman Hudud
Hukuman hudud adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan
Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith. Hukuman hudud ini adalah
hak Allah yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya
atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh
sesiapapun di dunia ini. Mereka yang melanggar ketetapan hukum
Allah yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya adalah termasuk
dalam golongan orang yang zalim. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka
mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah, 2:229).
Kesalahan-kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud ialah:
a) Berzina, iaitu melakukan persetubuhan tanpa nikah yang sah
mengikut hukum syara`.
b) Menuduh orang berzina (qazaf), iaitu membuat tuduhan zina ke
atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya dan
tuduhannya tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi.
c)
Minum arak atau minuman yang memabukkan sama ada sedikit atau
banyak, mabuk ataupun tidak.
d)
Mencuri, iaitu memindahkan secara sembunyi harta alih dari jagaan
atau milik tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat untuk
menghilangkan harta itu dari jagaan atau milik tuannya.
e)
Murtad, iaitu orang yang keluar dari agama Islam, sama ada dengan
perbuatan atau dengan perkataan, atau dengan i`tiqad kepercayaan.
f) Merompak (hirabah), iiatu keluar seorang atau sekumpulan yang
bertujuan untuk mengambil harta atau membunuh atau menakutkan
dengan cara kekerasan.
g)
Penderhaka (bughat), iaitu segolongan umat Islam yang melawan
atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syari`at Islam
dan hukum-hukum Islam.
2.
Hukuman Qisas
Hukuman qisas adalah sama seperti hukuman hudud juga, iaitu hukuman
yang telah ditentukan oleh Allah di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith.
Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas.
Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa), melukakan
dibalas dengan melukakan, mencederakan dibalas dengan mencederakan.
Kesalahan-kesalahan
yang wajib dikenakan hukuman qisas ialah:
a)
Membunuh orang lain dengan sengaja.
b)
Menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang
lain dengan sengaja.
c)
Melukakan orang lain dengan sengaja. Hukuman membunuh orang lain
dengan sengaja wajib dikenakan hukuman qisas ke atas si pembunuh
dengan dibalas bunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan
hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang
yang mati dibunuh." (Surah Al-Baqarah, 2:178)
Hukuman
menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang
lain atau melukakannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut
kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota
yang dicederakan dan dilukakan tadi.
Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Dan
Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya
jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung
dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan
gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas
(seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka
menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum
dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim." (Surah Al-Ma'idah: 45)
3. Hukuman Diyat
Hukuman diyat ialah harta yang wajib dibayar dan diberikan oleh
penjenayah kepada wali atau waris mangsanya sebagai gantirugi
disebabkan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah ke atas mangsanya.
Hukuman diyat adalah hukuman kesalahan-kesalahan yang sehubungan
dengan kesalahan qisas dan ia sebagai gantirugi di atas kesalahan-kesalahan
yang melibatkan kecederaan anggota badan atau melukakannya.
Kesalahan-kesalahan
yang wajib dikenakan hukuman diyat ialah:
a)
Pembunuhan yang serupa sengaja.
b)
Pembunuhan yang tersalah (tidak sengaja).
c)
Pembunuhan yang sengaja yang dimaafkan oleh wali atau waris orang
yang dibunuh. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
"Maka
sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya
(pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan
itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan
si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu)
dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan
dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa
yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya
azab siksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah, 2:178)
4.
Hukuman Ta`zir
Hukuman
ta`zir ialah kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera,
iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau
qisas. Hukuman ta`zir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar
atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Qur'an dan Al-Hadith.
Hukuman
ta`zir adalah dera ke atas penjenayah-penjenayah yang telah sabit
kesalahannya dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hukuman
hudud atau qisas kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak termasuk
di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman hudud atau
qisas.
Jenis,
kadar dan bentuk hukuman ta`zir itu adalah terserah kepada kearifan
hakim untuk menentukan dan memilih hukuman yang patut dikenakan
ke atas penjenayah-penjenayah itu kerana hukuman ta`zir itu adalah
bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali
kejahatan yang mereka lakukan tadi dan bukan untuk menyiksa mereka.
0 komentar:
Posting Komentar