Bab
28: `Aqiqah
PENGERTIAN ‘AQIQAH
‘Aqiqah ialah sembelihan binatang an‘am yang
dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai
tanda kesyukuran kepada Allah subhanahu wata‘ala.
HUKUM MELAKUKAN ‘AQIQAH
Hukum melakukan ‘aqiqah ialah sunnah mu’akkadah bagi
orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak
itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala
jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing.
Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada
tujuh bahagian.
WAKTU PELAKSANAAN ‘AQIQAH
Waktu melakukan ‘aqiqah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak
itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdhal untuk melakukan ‘aqiqah
adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak tersebut.
Sabda Rasullullah sallallahu ‘alayhi wasallam:
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى .
Maksudnya:
"Setiap bayi itu tergadai dengan ‘aqiqahnya. Disembelih
untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama."
(Riwayat Abu Daud)
SYARAT ‘AQIQAH
Berniat ‘aqiqah ketika menyembelih.
Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan
dagingnya serta sampai umur.
PERKARA SUNAT
SEMASA ‘AQIQAH
Berdoa semasa hendak menyembelih:
بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ ... (sebut
nama anak)
Maksudnya:
"Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang
ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini ‘aqiqah…".
Menyembelih ketika matahari sedang naik.
Daging ‘aqiqah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan.
Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang ‘aqiqah,
hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya.
Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.
Memasak daging ‘aqiqah dengan cara gulai manis untuk
dihidangkan kepada tetamu.
PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN
KETIKA MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK
Mengazankan di telinga sebelah kanan anak yang baru lahir.
Membaca iqamah di telinga sebelah kirinya.
Membaca doa di kedua-dua belah telinganya, contohnya membaca
surah Al-Ikhlas.
Menyapu lelangit kanak-kanak tersebut dengan benda-benda yang
manis seperti buah tamar atau pisang.
Menamakan kanak-kanak tersebut dengan nama-nama yang baik pada
hari ketujuh kelahirannya.
Mengadakan jamuan dan doa kesyukuran sempena kelahirannya.
Mencukur rambut kanak-kanak tersebut selepas menyembelih ‘aqiqah
untuknya.
Memberi sedekah emas atau perak seberat rambut kanak-kanak
yang dicukur itu atau wang yang sama nilai dengan emas atau perak
tersebut.
Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin.
HIKMAH ‘AQIQAH
‘Aqiqah mengandungi beberapa hikmah, antaranya:
Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan
anak.
Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah
yang dikurniakan oleh Allah.
Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan.
Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat
dengan keluarga yang dikurniakan anak.
Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati
sunnah Rasulullah.
Perbezaan
antara ‘aqiqah
dan qurban.
Terdapat beberapa perbezaan antara ‘aqiqah dengan qurban:
‘Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan qurban
dilakukan pada masa-masa tertentu, iaitu selepas sembahyang dan
khutbah Hari Raya ‘Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah.
Daging ‘aqiqah boleh diberi milik
kepada orang kaya manakala daging qurban hanya boleh diberi
kepada fakir miskin.
‘Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai
tanda kesyukuran kepada Allah, manakala qurban dilakukan kerana
memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya,
Isma‘il.
Daging qurban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging ‘aqiqah
sunat disedekahkan setelah dimasak.
0 komentar:
Posting Komentar