Bab
6: Najis
PENGERTIAN
NAJIS
Dari segi
bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan
tahi.
Dari segi
syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya
solat.
PEMBAHAGIAN NAJIS
Najis dari
segi ‘ainnya terbahagi kepada dua:
1. Najis haqiqiyy,
iaitu benda kotor sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat
atau tidak. Ia terbahagi kepada tiga:
i. Mughallazah
(berat), iaitu anjing, khinzir dan yang lahir daripada kedua-duanya
atau salah satunya.
ii. Mukhaffafah
(ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan
selain menyusu dan belum mencapai umur dua tahun.
iii. Mutawassitah
(pertengahan), iaitu selain dari dua jenis di atas seperti darah,
nanah, tahi dan sebagainya.
Semua bangkai
binatang adalah najis kecuali ikan dan belalang. Kulit bangkai
binatang menjadi suci apabila disamak kecuali kulit khinzir, anjing
dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.
2. Najis hukmiyy,
iaitu kekotoran yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadath
kecil yang dapat dihilangkan dengan berwudhu’ dan hadath
besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan mandi, atau tayammum
apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.
NAJIS
YANG DIMAAFKAN
Tiada sebarang
najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syara` memberi kemaafan
terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan,
begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya.
Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan:
1. Najis
yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah
yang sedikit dan percikan air kencing.
2. Darah
jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah.
3. Darah
binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk,
agas dan pijat.
4. Tempat
berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, darah istihadhah,
air kurap atau kudis.
CARA MENYUCI NAJIS
Cara menghilangkan
najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak.
Cara menyucikan
najis haqiqiyy pula adalah seperti berikut:
1.
Najis mughallazah (berat)
Hendaklah
dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah
dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya
bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan
rasa).
2.
Najis mutawassitah (pertengahan)
Hendaklah
dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah
dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga hilang sifatnya
(warna, bau dan rasa).
3.
Najis mukhaffafah (ringan)
Hendaklah
dihilangkan `ain najis itu terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar
direnjiskan atau dialirkan air ke atasnya.
· Untuk
menyucikan najis hukmiyy iaitu yang tiada warna, bau dan rasa
ialah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis
tersebut.
0 komentar:
Posting Komentar