Senin, 03 Maret 2014

Bab 3 : Konsep Tasawwuf

Bab 3 : Konsep Tasawwuf

Tasawwuf selalu diberikan gambaran yang menyentuh sudut-sudut tertentu sahaja terutamanya ketinggian akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah. Menggambarkan tasawwuf dengan gambaran-gambaran tersebut ternyata tidak tepat dan tidak menyentuh intipati sebenar dan menyeluruh tentang tasawwuf itu. Pengertian sebenar tasawwuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud :

“ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawwuf sebagai muraqabah dan mushahadah dan ia mempunyai beberapa tingkatan tertentu. Pencapaian mushahadah ini akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat. Dari sinilah timbulnya berbagai persoalan tasawwuf yang dibicarakan secara panjang lebar oleh ahli sufi dalam karya-karya mereka.

Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawwuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati daripada sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain daripada Allah dari lubuk hati dan zahir kebenaran Allah di hati itu (tajalli) sehingga ia dapat melihat dengan jelas tanda-tanda keagungan-Nya dan merasai kehebatan-Nya iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis.

Pengertian tasawwuf seperti inilah yang dapat dilihat pada definisi yang diberikan oleh Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Menurut beliau, tasawwuf itu ialah penyucian hati (tasfiyah) daripada sesuatu yang lain dari Allah. Shaykh Ahmad Zaruq telah meneliti definisi-definisi yang telah dikemukakan oleh para ulama tasawwuf dan membuat kesimpulan dengan menyatakan bahawa tasawwuf telah dihurai, ditafsir dan didefinisikan sejumlah hampir dua ribu. Semua itu terhimpun atau merujuk kepada satu pengertian sahaja iaitu “benarnya tawajjuh hati kepada Allah”. Permulaan tawajjuh hati itu ialah terhasilnya intibah (kesedaran jiwa) yang membawa kepada taubah yang benar. Pertengahannya ialah merasai ahwal dan mencapai maqamat. Kesudahannya pula ialah tertumpu pandangan hati hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain dari-Nya. Di sinilah terhasilnya mushahadah dan inilah kemuncak ihsan.

0 komentar:

Posting Komentar