Senin, 03 Maret 2014

Bab 5 : Beberapa Elemen Asasi Tasawwuf

Bab 5 : Beberapa Elemen Asasi Tasawwuf

Terdapat beberapa elemen yang membentuk tasawwuf. Antara elemen utama yang membentuk tasawwuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati, peribadatan, ahklak dan kezuhudan.

i-Kesucian Diri dan Penyaksian Hati

Kesucian diri merupakan intipati bagi tasawwuf. Ia bermaksud sucinya diri daripada pelanggaran terhadap hukum syariat, sifat-sifat kecelaan, pegangan atau keyakinan yang batil dan juga tumpuan, tilikan serta pergantungan hati kepada sesuatu yang lain daripada Allah. Kesucian diri ini akan membawa kepada penyaksian hati terhadap kebenaran ketuhanan Allah, keagungan, keindahan dan kesempurnaan-Nya. Pencapaian penyaksian hati ini akan membuahkan keyakinan yang mantap selain akhlak yang mulia dan ibadat yang murni.

Elemen kesucian diri ini dapat dilihat dalam banyak takrifan yang diberikan oleh para ulama tasawwuf antaranya ialah takrifan yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Bakr al-Kattani, Shaykh Abu Sa`id al-Kharraz dan Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Dalam mentakrifkan tasawwuf, al-Kattani menyebut bahawa tasawwuf itu ialah kesucian diri (safa’) dan penyaksian hati (mushahadah). al-Kharraz telah ditanya tentang sufi lalu menjawab bahawa “(sufi itu ialah) orang yang tuhannya telah membersihkan hatinya sehingga hatinya dipenuhi dengan cahaya hidayah dan orang yang berada dalam kelazatan dengan mengingati Allah. al-Jilani pula menjelaskan bahawa asal perkataan sufi itu ialah sufiya yang di ambil dari perkataan al-musafat. Kerana itu dikatakan bahawa sufi itu ialah orang yang bersih daripada penyakit-penyakit nafsu, bebas (bersih) daripada sifat-sifat kecelaannya, melalui jalan-jalan kesufian yang terpuji, berpegang dengan hakikat-hakikat kebenaran dan tidak tenteram (cenderung) hatinya kepada sesuatu makhluk.

ii-Peribadatan

Tasawwuf juga mengandungi elemen peribadatan iaitu kesungguhan, ketekunan, ketertiban dan keikhlasan dalam melaksanakan amal ibadah. Ini bererti sufi itu ialah orang yang menekuni amal ibadah dan bersungguh-sungguh melaksanakannya dalam bentuk yang lebih sempurna, teratur dan istiqamah. Elemen peribadatan dalam tasawwuf antara lain dapat dilihat pada definisi yang dikemukakan oleh Shaykh `Ali al-Muzayyin. Tasawwuf menurut beliau ialah ketaatan atau kepatuhan kepada Allah. Begitu juga Imam al-Ghazali yang antara definisi beliau terhadap tasawwuf ialah mencampakkan diri dalam `ubudiyyah (perhambaan diri kepada Allah) dan bergantung hati dengan rububiyyah (ketuhanan Allah).

iii-Akhlak

Ketinggian akhlak juga merupakan antara elemen asasi tasawwuf. Ini bererti sufi itu ialah orang yang berakhlak mulia dan bersih daripada akhlak yang keji. Elemen akhlak dalam tasawwuf antara lain dapat dilihat dalam takrifan yang dikemukakan oleh Abu Bakr al-Kattani. Tasawwuf itu menurut beliau ialah akhlak, sesiapa yang melebihi engkau pada akhlak, maka sesungguhnya dia melebihi engkau pada kejernihan rohani. Begitu juga Ahmad al-Jariri di mana tasawwuf itu menurut beliau ialah bersifat dengan semua akhlak yang murni dan bersih daripada semua akhlak yang hina.

iv-Kezuhudan

Antara elemen asasi tasawwuf ialah kezuhudan dengan erti ketidakcenderungan hati kepada perkara keduniaan, bukan semata-mata meninggalkan perkara keduniaan. Elemen kezuhudan dalam tasawwuf dapat dilihat antara lain pada takrifan yang diberikan oleh Samnun. Tasawwuf menurut beliau ialah bahawa engkau tidak memiliki sesuatu dan tiada sesuatu yang memiliki engkau. Begitu juga yang terdapat pada takrifan Ma`ruf al-Karakhi di mana tasawwuf menurut beliau ialah berpegang dengan hakikat dan berputus-asa (tidak berkeinginan) terhadap apa yang ada pada tangan (milik) makhluk.

Elemen-elemen seperti peribadatan, berakhlak mulia dan kezuhudan lahiriah secara berasingan tidak menggambarkan hakikat sebenar tasawwuf, namun ia adalah sebahagian daripada elemen yang membentuk tasawwuf dan tidak dapat dipisahkan daripadanya. Ketekunan melakukan amal ibadah tidak semestinya menunjukkan kesufian. Demikian juga memiliki akhlak yang mulia dan kezuhudan. Namun seorang sufi itu pasti menekuni amal ibadah, berakhlak mulia dan bersifat zuhud dalam bentuk yang sesuai dengan keadaan mereka.

0 komentar:

Posting Komentar