Bab
7: Mereka Yang Enggan Berkahwin
Kahwin
adalah Sunnah Rasulullah s.a.w. dan Sunnah para Nabi-nabi, dan
fitrah yang sesuai dengan naluri manusia. Mereka yang tidak mahu
berkahwin dan enggan berkahwin adalah bermakna mereka telah mensia-siakan
hidupnya di dunia yang telah disediakan Allah untuk hambanya-Nya
menikmati segala pengurniaan-Nya.
Islam adalah melarang ummahnya hidup membujang - tanpa berkahwin
dengan tujuan untuk menjauhkan diri dari menikmati kesedapan berkelamin
dan kesenangan hidup didunia serta mengelakkan diri dari menikmati
kegembiraan berkeluarga dan tidak mahu mempunyai keturunan.
Dalam Islam berkahwin adalah merupakan suatu perkara yang digalakkan,
kerana dengan perkahwinan itu akan berkembang biak ummah Nabi
Muhammad s.a.w., dimana baginda adalah merasa bangga dan bergembira
dengan sebab banyak ummatnya. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah
s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi
Waqqas :
"Berkahwinlah
kamu Maka sesungguhnya aku dihari qiamat kelak akan bergembira
dengan sebab banyak ummahku. Dan janganlah kamu menjadi seperti
orang - orang Nasrani bertapa - hidup membujang".
Mereka
yang enggan berkahwin, Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan
hadith dari Anas bin Malik, katanya : Tiga orang sahabat datang
berkunjung ke rumah isteri-isteri Rasulullah s.a.w. menanyakan
tentang 'ibadat yang dikerjakan oleh Baginda. Setelah tiga orang
sahabat tadi mendapat jawapan dari isteri-isteri Baginda, mereka
merasa bahawa 'ibadat mereka itu bila dibandingkan dengan ibadat
Rasullah s.a.w. adalah terlalu sedikit dan sangat-sangat "kurang."
Mereka
berkata sesamanya: "Bagaimana 'ibadat kita? Padahal Baginda adalah
orang yang ma'shum - tidak sedikit pun mempunyai dosa, dan Allah
telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang?. "Maka
salah seorang dari mereka itu berkata: "Aku akan sembahyang Tahajjud
setiap malam." Dan seorang yang lain akan berkata:"Aku akan berpuasa
sepanjang tahun, dan tidak akan berbuka." Dan seorang yang lain
lagi berkata: "Aku akan mengasingkan diri dari orang perempuan,
dan aku tidak akan berkahwin selama-lamanya (hidup membujang)"
Maka datang Rasulullah s.a.w., lalu bersabda:
Kamu
semua berkata begitu? Ingat dan ketahuilah, demi Allah, aku adalah
orang yang sangat takut terhadap Allah, dan sangat taqwa kepada-Nya,
tetapi aku berpuasa dan kadang-kadang aku (tidak berpuasa), dan
aku sembahyang, dan aku tidur, dan aku juga berkahwin dengan perempuan.
Maka sesiapa yang tidak suka dengan sunnahku, mereka itu bukanlah
pengikutku (bukan dari kalangan ummahku). (Riwayat Bukhari dan
Muslim)
Mereka
yang enggan berkahwin (hidup membujang) seumur hidupnya, padahal
mereka mampu menunaikan tanggungjawab terhadap isterinya zahir
dan batin, maka bermakna mereka telah mengharamkan sesuatu perkara
yang halal ke atas diri mereka, dan mereka itu adalah juga orang
yang menentang hukum Allah dari Sunnah Rasul-Nya.
Dalam
masalah ini, at-Tabari berkata: "Sahabat Rasulullah s.a.w bernama
'Uthman bin Maz'un mengharamkan ke atas dirinya seorang perempuan,
benda-benda yang baik dan semua benda yang sedap dan lazat. Dengan
pengharaman tersebut, Allah Ta'ala menurunkan firman-Nya:
Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan benda-benda
yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah
kamu melampaui batas pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu,
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui
batas. (Surah al- Ma'iddah:87)
Sehubungan
dengan ini, diriwayatkan dari Ibnu 'Abbas:
Seorang
lelaki mengadu dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai
orang yang membujang (tidak berkahwin) selama-lamanya, katanya:
" Bolehkah aku berkasi?" Baginda menjawab dengan sabdanya:
Tidak
ada dalam agama kita orang yang berkasi. (Riwayat Tabrani)
Dalam
masalah ini, Sa'ad bin Waqqas berkata:
Rasulullah
s.a.w. telah melarang sahabatnya 'Uthman bin Maz'un hidup membujang
(tanpa berkahwin). Andainya Baginda mengizinkan 'Uthman bin Maz'un
membujang (tanpa berkahwin), tenteulah kita "harus" berkasi. (Riwayat
Bukhari)
0 komentar:
Posting Komentar